Gambar Hiasan |
Soalan: Apakah hukum bagi seorang suami menggunakan ilmu penunduk kepada wanita dan isteri orang bagi melakukan maksiat?
Ain, Wangsa Maju.
Jawapan UKE: Jika ilmu penunduk itu menggunakan unsur-unsur syirik atau khurafat, maka sudah pastinya perbuatan sedemikian berdosa besar.
Dosa keduanya ialah berbuat maksiat dan bertambah besar dosanya apabila melibatkan isteri orang maka berkali-kali ganda pula besar dosanya. Saya nasihatkan anda panggil semua ahli keluarga termasuk ibu bapanya untuk mereka tahu perangai suami anda.
Ini bukan untuk memburuk-burukkannya tetapi sebagai satu usaha kerana anda seorang tidak mampu menyelesaikan masalah ini. Minta mentua anda nasihat dia termasuk orang yang dia hormati sebagai imam untuk sama-sama membantunya berhenti daripada amalan buruknya itu.
Perbuatan sihir penunduk ini selalunya dipanggil tiwalah iaitu ilmu pengasih. Minyak guna-guna atau penunduk adalah haram dan syirik hukumnya. Boleh dirujuk di dalam kitab Sunan Ibn Majah, Jilid 2, muka surat 1,166 (hadis nombor 3530);
“Sesungguhnya tangkal, jampi, azimat dan tiwalah adalah syirik.”
Begitu juga jika menggunakan tangkal bertujuan menundukkan seseorang adalah haram dan syirik. Dalil hadis Imam Ahmad dalam al-Musnad jilid 4, muka surat 154;
“Sesiapa yang menggantung tamimah (tangkal) atau wad’ah (juga sejenis tangkal), nescaya Allah tidak menyempurnakan hajatnya dan Dia tidak memberi keamanan kepadanya.”
Sumber: Utusan