Tak Boleh Ikut 100% Kehendak P. Pinang, Rakyat Kedah Lebih Utama

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR – Kerajaan negeri akan berbincang dengan Lembaga Sumber Air Kedah berhubung permintaan Pulau Pinang yang mahu Kedah mengurangkan pelepasan air harian ke Sungai Muda.

Namun Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pihaknya tidak boleh mengikut 100 peratus kehendak Pulau Pinang, sebaliknya mengutamakan keperluan Kedah terlebih dahulu.

“Kita akan bincang dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Muafakat JKKK Kedah bersama Pemimpin di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata, Pulau Pinang meminta penangguhan aktiviti pengairan di Kedah dalam usaha memenuhi hanya permintaan bekalan air di kedua-dua negeri itu.

Tanpa adanya kebimbangan tentang pengairan, kata Jaseni, Empangan Muda dan Empangan Beris mungkin boleh mengurangkan pelepasan air di Sungai Muda, selain mengurangkan pembaziran.

Sementara itu, pada majlis hari ini, Ismail turut menyerahkan watikah pelantikan jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) kepada Ahmad Bashah.

Kira-kira 2,000 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Setiausaha JKKK hadir pada program semalam, yang bertujuan mengeratkan silaturrahim antara JKKK dan KKLW. – BERNAMA