"Tawar Idea Berbeza Dengannya, Orang Itu Akan Hadapi Masalah"

TEMERLOH - Sikap degil bekas pengerusi Proton Holdings‎ Berhad (Proton), Tun Dr Mahathir Mohamed merupakan antara punca kegagalan syarikat pengeluar kereta tempatan itu menjadi kompetitif dalam saingan industri automotif.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan sukar untuk‎ memperbetulkan keadaan kewangan syarikat milik kerajaan itu kerana bekas perdana menteri itu enggan menerima pendapat orang lain.

"Sekiranya sesiapa dalam syarikat itu menawarkan idea yang berbeza dengan pandangannya (Dr Mahathir), maka orang itu akan menghadapi masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Cawangan Kuala Krau, di sini semalam.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa
Semasa di bawah Mahathir juga, katanya, Proton telah melakukan beberapa‎ urusniaga yang menyebabkan syarikat itu berada dalam keadaan terumbang ambing antaranya termasuk kerjasama dengan Group Lotus Plc.

Kelmarin, Mahathir dikatakan telah meletakkan jawatan di empat badan berkaitan kerajaan iaitu Proton, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Lembaga Pembangunan Tioman.

Proton dipengerusikan Dr Mahathir sejak diasaskan pada 7 Mei 1983.

Annuar berkata walaupun Proton menghadapi masalah kewangan yang serius namun Proton dilihat kebal serta terkongkong dengan idea dan kepercayaan Dr Mahathir.

Beliau berkata pada satu ketika dahulu, Proton pernah menguasai 70 peratus pasaran kereta tempatan dan kini tidak sampai 30 peratus.

"Ini bermakna Proton semasa di bawah Tun Dr Mahathir sebagai penasihat,  bertahun-tahun menghadapi masalah kewangan yang besar, malah kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang sangat besar untuk memastikannya untuk terus beroperasi," katanya.

Justeru, katanya, pengunduran Mahathir dilihat sebagai peluang‎ terbaik kerajaan untuk memulih dan menyelamatkan syarikat kereta nasional negara itu daripada terus mengalami kerugian.

Beliau berkata pengurusan Proton harus dibantu untuk mengurus syarikat itu secara profesional termasuk mengatur strategi baharu mengadakan perkongsian teknologi dengan syarikat automotif dari negara lain.

Dalam masa yang sama, katanya penjelasan tentang perkara ini juga harus diberikan kepada rakyat termasuk daripada pihak Proton sendiri untuk mengelakkan mereka salah faham dalam isu tersebut. - Bernama