PUTRAJAYA – Hasrat rakyat Malaysia khasnya umat Islam yang begitu teruja hendak mendengar ceramah kontroversi oleh pendakwah antarabangsa terkenal Dr. Zakir Abdul Karim Naik di Melaka akhirnya terkabul.
Ia susulan pihak kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri mengambil keputusan untuk bersetuju membenarkan ceramah pada 17 April ini dengan syarat, topik program itu perlu ditukar namanya terlebih dahulu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan pihak polis membatalkan ceramah bertajuk ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ itu sebelum ini adalah berdasarkan aduan awam.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, aduan tersebut bukan sahaja daripada masyarakat beragama Hindu tetapi juga daripada beberapa pemimpin agama Islam yang berasa bimbang tajuk itu agak berbaur sensitif.
“Kerajaan memutuskan boleh ada lagi kompromi dan sudah pun berbincang dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron untuk ceramah itu diteruskan tetapi dengan tajuk yang lain pula,” katanya kepada pemberita.
Ahmad Zahid yang menjadi tumpuan ramai wartawan untuk mengulas isu tersebut sebelum itu menghadiri Makmal Panel Majlis Perundingan Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Selasa.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Zakir Naik ialah penerima kategori antarabangsa Tokoh Maal Hijrah pada 2013 lalu.
Polis pada Isnin tidak membenarkan penganjuran forum dengan nama tersebut yang menampilkan Zakir di Dewan Besar Universiti Teknikal Malaysia Melaka pada 17 April ini. – Agensi