Ular Tedung Masuk Makmal, Kecoh Satu Sekolah


LAGI kes ular masuk sekolah.  Kecoh sebuah sekolah di Labuan apabila mengetahui seekor ular tedung dijumpai dalam makmal sekolah itu, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, sekumpulan pelajar yang sedang belajar dalam makmal tersebut terkejut dan panik apabila menemui seekor ular berwarna kelabu sepanjang dua meter.

Pelajar berkenaan kemudian memaklumkan kepada guru sebelum pihak sekolah menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Zainal Madasin, berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebelum khuatir ular berbahaya tersebut lari di tempat lain.

“Amat berbahaya sekiranya ular tedung itu pergi ke kawasan sekolah.

“Kami mengambil langkah lebih berwaspasda dalam menangani ular tedung, kerana ia berbahaya. Nasib baiklah tiada murid yang cedera,” katanya.

Difahamkan, pasukan bomba mengambil masa beberapa minit untuk menangkap ular itu dan menyerahkannya kepada Jabatan Hidupan Liar.

Minggu lalu, seorang murid Tahun Satu meninggal dunia selepas dipatuk ular di sekolah. – Kedahnews.com