"Ulat Buku" Usia 68 Tahun Ikrar Tawan Puncak Everest

Pendaki tertua Malaysia James Lee, 68, bersemangat sebelum berlepas ke Kathmandu bagi melakukan pendakian solo ke Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 semalam. - Foto BERNAMA
SEPANG – Dahulunya beliau seorang ulat buku serta langsung tidak berminat dengan aktiviti luar, namun kini James Lee Chong Meng meletakkan impian tinggi untuk menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.

Bekas jurutera berusia 68 tahun itu bakal mencipta rekod sebagai pendaki lelaki tertua di Asia Tenggara dan Malaysia yang bakal menakluki gunung setinggi 8,848 meter itu.

Lee menyertai Lions Mount Everest Expedition 2016 berlepas ke Kathmandu, Nepal hari ini dan dijangka menamatkan misinya kira-kira 70 hari.

“Saya mahu melakar sejarah peribadi saya melalui misi ini. Menjadi harapan saya pendakian ini akan memberi inspirasi kepada golongan muda,” katanya pada sidang media sebelum berlepas ke Kathmandu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini semalam.

Kira-kira 10 rakan Lee di Sekolah Menengah Inggeris Port Dickson pada tahun 1966, (kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Tinggi Port Dickson) turut hadir memberi sokongan moral kepada beliau.

Ekspedisi anjuran Lions Club International District 308 B1 itu bertujuan meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat dan memperlihatkan semangat ‘Malaysia Boleh’.

Dua lagi pendaki pengiring iaitu Sherine Leong, 40, dan Desmond Lee, 56, akan bersama Lee sehingga ke Everest Base Camp (EBC).

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai media rasmi ekspedisi turut menghantar tiga wakil iaitu wartawan Muhammad Afiq Mohd Asri, 25; jurukamera Bernama TV Fazril Amirul, 23; dan jurufoto Zulfadhli Zulkarnain, 23.

Turut hadir memberi sokongan kepada Lee dan pasukan ekspedisi di klia2 ialah Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Bernama Datuk Mokhtar Hussain dan District Governor Lions Club International District 308 B1, Datuk L Krishnan.

Lee berkata beliau hanya mula mendaki gunung semasa usianya 40-an.

“Saya melakukannya sebagai hobi dan kini saya bakal menakluki puncak tertinggi dunia. Sehingga kini, saya berjaya menawan lebih daripada 20 gunung termasuk Gunung Kinabalu sebanyak 17 kali dalam empat tahun, Gunung Rinjani di Indonesia, Gunung Fuji (Jepun) dan Gunung Ama Dablam (Nepal),” katanya.

Lee berkata sebagai persediaan menakluki Gunung Everest, beliau berlatih secara berterusan selama 29 hari mendaki Gunung Ama Dablam setinggi 6,500 meter pada Oktober dan November tahun lalu.

“Pelbagai perancangan dibuat selepas pendakian ini untuk mempromosikan gaya hidup sihat khususnya di kalangan golongan muda. Saya mahu masyarakat kita tahu bahawa kita memerlukan gaya hidup yang lebih baik.

“Zaman sekarang, orang mudah jatuh sakit. Oleh itu, kita perlu bersenam dan menjalani gaya hidup sihat,” katanya. – BERNAMA