"Untuk Buka Tudung Mungkin Tidak Sesekali.." - Fathia Latiff

Sumber IG: Fathia Latiff
Pelakon jelita, Fathia Latiff yang memutuskan diri untuk berhijab sepenuhnya tiga hari lalu menegaskan dia tidak akan sesekali membuka hijab dan akan menolak mana-mana tawaran berlakon yang memintanya berbuat demikian.

Kata Fathia, dia lebih rela menolak tawaran berlakon seperti itu demi mengukuhkan prinsip "hijrah" kepada imej yang menutup aurat dan sopan itu.

"Saya juga mungkin terpaksa menolak tawaran berlakon beberapa drama kerana imej baharu ini. Saya tidak kisah, namun untuk membuka tudung mungkin tidak sesekali.

Kata Fathia lagi, dia bersyukur kepada Allah SWT yang memberikan hidayah dan kekuatan padanya untuk bertudung sepenuhnya walaupun dimulakan perlahan-lahan sejak menjalani penggambaran di New York sebelum ini.

"Saya bersyukur diberikan Allah hidayah ketika usia masih muda. Perasaan untuk berhijab hadir secara tiba-tiba, bukan atas paksaan sesiapa atau kerana mengikut aliran apabila semakin ramai artis wanita menutup aurat.

"Jujurnya, saya mula bertudung sebelum menjalani penggambaran sebuah drama di New York lagi. Ketika itu, hati saya tergerak untuk memulakan penghijrahan, tetapi saya harus melakukannya secara perlahan-lahan.

"Alhamdulillah, sejak dua hari lalu, saya sudah bertudung sepenuhnya," cerita Fathia yang dipetik dari sebuah portal hiburan, semalam.

Namun Fathia, dia masih mempunyai kontrak sebagai duta kepada beberapa syarikat dan sekiranya pembaharuan imejnya ke arah Islamik itu dalam diterima, tidak mustahil kontrak-kontraknya itu akan disambung.

"Saya mempunyai kontrak sebagai duta dengan beberapa syarikat. Jika ada rezeki dan penampilan baru saya diterima, insya-Allah kontrak itu akan disambung.

"Jika tiada rezeki, saya percaya Tuhan akan hadirkan sesuatu yang lebih baik nanti," doa Fathia. -Kedahnews.com