Baru saja memanaskan pentas dakwah di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu kelmarin, pendakwah tersohor dunia, Dr Zakir Naik sempat memberi pengajaran berguna kepada seorang gadis di majlis berkenaan.
Lebih menarik lagi, Dr Zakir sempat berpesan supaya tidak menyalahkan kerajaan dalam persoalan yang diajukan gadis yang mungkin termakan dakyah propaganda pihak tertentu yang selama ini menyemai tanggapan negatif terhadap pihak kerajaan.
"Tapi tolong, jangan sesekali salahkan Kerajaan Malaysia.. Kerajaan Malaysia adalah sebuah kerajaan yang sangat baik," tegas pendakwah terkenal tersebut.
Gadis tersebut merupakan salah seorang pelajar perubatan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) pada mulanya mengajukan soalan berbaur provokatif dengan cuba menyalahkan pihak kerajaan yang seolah-olah 'zalim' terhadap pelajar sepertinya.
Gadis berkenaan meminta ulasan Dr Zakir mengenai kos yuran pengajian kursus perubatan sebanyak RM3,600 untuk setahun yang dikenakan pihak kerajaan kononnya terlalu tinggi sehingga memaksa pelajar berhutang yang kemudiannya dikenakan 'riba'.
Dia juga mempersoal tentang kononnya pihak kerajaan tidak menghargai pelajar perubatan sepertinya yang mendakwa mempunyai potensi untuk menemui penawar bagi penyakit kronik seperti kanser.
Mendengar persoalan yang dilontarkan gadis tersebut, Dr Zakir dalam bersahaja secara sinis membidas gadis tersebut yang mengatakan kos kursus yang perlu dibayar gadis berkenaan adalah terlalu sedikit berbanding IPT di luar negara yang mengenakan caj yang melebihi ASD$100,000.
"Saya cabar awak untuk kemukakan mana-mana kolej perubatan yang hanya mengenakan caj serendah USD$1,000 setahun sahaja," cabar Dr Zakir membandingkan tukaran matawang RM3,600 yang tidak sampai USD$1,000.
Namun begitu, Dr Zakir agak terkejut apabila mengetahui pihak kerajaan di Malaysia terlalu bermurah hati apabila memberikan pembiayaan subsidi yang terlalu banyak kepada IPT yang menawarkan kursus perubatan di negara ini sehingga hanya mengenakan kos yang amat minima kepada pelajarnya.
Mengenai dakwaan pelajar itu yang mendakwa kononnya terpaksa berhutang dan dikenakan "riba", Dr Zakir sekali lagi membidas gadis tersebut dengan mempersoal tentang mengapa perlu dia sebagai seorang Islam mengambil pinjaman dari institusi kewangan yang mengenakan riba.
Pendakwah dari India itu juga memberikan jalan penyelesaian kepada pelajar berkenaan untuk mengelak riba dengan mendapatkan bantuan dari Jabatan Zakat, Baitul Mal dan beliau yakin ramai umat Islam di Malaysia yang sanggup menghulurkan bantuan kewangan bagi membiayai kos perubatan tersebut seperti yang berlaku di tempat asalnya, Bombay.
Dr Zakir berkata, sekiranya benar tidak ada pihak yang sanggup membantu pelajar berkenaan dan rakan-rakannya yang dikatakan seramai 80 orang yang tidak mendapat biasiswa itu, beliau sanggup membiayai kos yuran pengajian mereka yang dilihat terlalu rendah.
"Kalau awak tak dapat pembiayaan dari mereka di negara ini, saya akan biayai yuran pengajian awak.
"Berapa ramai rakan-rakan awak? Semua 80 rakan-rakan awak jika tidak dapat pembiayaan (dari Malaysia) insyaAllah saya akan biayai semua kos yuran pengajian mereka," kata Dr Zakir kepada pelajar berkenaan.
Berikut adalah rakaman video Dr Zakir "sekolahkan" pelajar perubatan tersebut yang sedang viral diperkatakan di media sosial.- Kedahnews.com