VIDEO VIRAL: Rakyat Malaysia Kena Tipu Lagi Di Media Sosial


KUALA LUMPUR – Video pentas runtuh dalam satu sesi bergambar yang didakwa melibatkan pelajar Malaysia di sebuah Universiti di Mesir adalah tidak benar.

Jurucakap Kementerian Luar berkata video yang menjadi viral di laman sosial itu merupakan kejadian lama yang berlaku di sebuah universiti di Baghdad, Iraq dan tidak melibatkan pelajar dari negara ini.

“Video itu adalah tidak benar dan ia hanya satu video lama yang sengaja diviralkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (Perubatan), Muhammad Ikraam Abdul Latif berkata video berkenaan mula tersebar dalam kalangan pelajar Malaysia di Mesir melalui aplikasi WhatsApp, kira-kira 8 pagi tadi (2 petang waktu Malaysia).

“Saya kemudian menerima panggilan bertalu-talu dari rakan-rakan lain, yang ingin bertanya kesahihan maklumat yang tersebar kerana khuatir ada yang mengalami kecederaan disebabkan kejadian itu,” kata pelajar tahun 5, Kuliah Perubatan, Universiti Kaherah, Mesir.

Muhammad Ikraam kemudian menghubungi pejabat kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir untuk mengesahkan perkara berkenaan.

Namun katanya pihak kedutaan mengesahkan tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.

Muhammad Ikraam berkata beliau turut menghubungi wakil persatuan itu di tujuh universiti yang menempatkan pelajar dari Malaysia.

“Saya dimaklumkan kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan tidak pernah terlibat dalam sebarang situasi seperti dilaporkan,” katanya.

Semakan Bernama di laman sosial YouTube mendapati video yang diviralkan itu dimuat naik ke laman berkenaan pada 27 Mac 2016 dan difahamkan kejadian terbabit berlaku sehari sebelumnya. – BERNAMA


Dah kena tipu lagi rakyat Malaysia.... Insiden ni tak libat student kita pun... Semua student dari negara luar... Berlaku pada 26 Mac baru ni... P/s: Berapa ramai kena tipu? Cuba angkat tangan...
Posted by Kedahnews.com on Tuesday, April 5, 2016