Karipap boleh dikatakan antara kuih tradisi yang menjadi kegemaran bagi ramai rakyat Malaysia khususnya untuk sesi minum petang di rumah, hidangan mesyuarat dan sebagainya.
Walaupun tidak dapat dipastikan dari mana asal usul sebenar "currypuff" yang mungkin diadaptasi ke bahasa Melayu menjadi "karipap", namun kuih ini cukup popular di negara kita.
Namun begitu, rupa-rupanya penduduk di China pun sangat menggemari karipap buatan anak Malaysia.
Mereka sanggup berbaris panjang demi menjamah sebiji karipap panas yang dijual pada harga 12 yuan, iaitu bersamaan dengan RM7.00.
Idea untuk menubuhkan restoran "The Mamak Stall" itu difahamkan bermula dari pemiliknya, Huang Xin Yin, yang berasal dari Johor Bahru, Johor.
Huang Xin Yin |
Huang sebelum ini bekerja di sebuah bank di Singapura dan dia mengumpul wang bonus tahunan sedikit demi sedikit bagi mengejar cita-citanya membuka perniagaan sendiri.
Melaburkan semua wang simpanannya, Huang kemudiannya berjaya membuka sebuah perniagaan di wilayah Nanning, China, kerana melihat potensi besar yang boleh mengembangkan perniagaannya di sana.
Pada Jun tahun lalu, The Mamak Stall berdiri megah di negara tembok besar itu dan sehingga kini, dia telah membuka dua cawangan di negara republik tersebut.
Huang menyimpan impian untuk menjadikan The Mamak Stall sebuah perniagaan francais di masa hadapan.
Selain karipap, restorannya turut menjual juadah popular Malaysia yang lain seperti Kari Kepala Ikan, Char Kuey Teow dan Mi Kari.
Untuk makluman, untuk memastikan kualiti karipap yang disajikan, The Mamak Stall hanya menjual sebanyak 100 biji karipap setiap hari.
Justeru itu, tidak hairanlah jika ramai rakyat China yang sanggup berebut-rebut dan beratur panjang demi mendapatkan sebiji karipap "daily limited edition" dari The Mamak Stall setiap hari. –Kedahnews.com