Wira Highland Towers 1993 Maut Kemalangan Motorsikal

Mendiang Yogaraja Nadaraja.
PETALING JAYA - Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terlibat dalam operasi menyelamat tragedi runtuhan Highland Towers pada 1993 terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada awal pagi Ahad.

Pegawai kanan JBPM, Yogaraja Nadaraja dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kinrara, Puchong (persimpangan lampu isyarat menghala ke Taman Sri Manja, Petaling Jaya).

Laporan awal mendapati motosikal yang ditunggang Yogaraja terbabas lalu merempuh pembahagi jalan kira-kira pukul 2 pagi.

Dalam satu status di laman Twitter @bombaJBPM, jabatan itu mengumumkan mengenai berita kematian Yogaraja yang berkhidmat bersama Unit K9 dan pernah bertugas di JBPM Kuala Lumpur.

"Mayatnya kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Upacara pengembumian akan diumumkan kemudian.

"Jabatan ini mengucapkan takziah di atas pemergian beliau. Semoga ahli keluarga mendiang tabah menghadapi dugaan ini," menurut posting itu.

Yogaraja merupakan salah seorang anggota yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tragedi Highland Towers kira-kira 23 tahun lalu.

Sumber: mStar