"With Love Surprise Planner" Zahirkan Sentuhan Kasih Sayang Anda


Seperti biasa pada setiap kali ulang tahun kelahiran ibunya, Sofea akan membawa ibunya ke restoran masakan Thai untuk meraikan hari lahir wanita separuh abad itu dengan hidangan istimewa. Itulah rutin Sofea setiap tahun. Hatinya cukup puas melihat senyuman ibu. Di kelilingi anak-anaknya setelah berpuluh tahun membesarkan mereka jelas terpancar kasih sayang yang sejati diwajahnya.

Malam itu, semuanya hadir. Sofea, angah, alang dan adik-adiknya meraikan hari lahir ibu yang ke-63 di sebuah restoran Thai di Kuala Kedah. Sedang menunggu hidangan yang dipesan awal, tiba-tiba mereka sekeluarga dikejutkan dengan sesuatu..!

Sepasang suami isteri yang tidak dikenali tiba-tiba datang mengucapkan selamat hari lahir pada ibu tua itu, memberikan sejambak mawar segar kemerahan, sekotak kek yang indah dihias dan beberapa biji belon merah bertulis "I love you". Menyanyikan lagu selamat hari lahir dan disusuli doa selamat dari angah, airmata mengalir di kelopak mata ibu tua itu, terharu dengan sentuhan kasih sayang yang terzahir di malam ulang tahun kelahirannya. Beliau merasakan dirinya cukup istimewa dan dihargai...

Sofea tersenyum lebih puas kali ini. Hasrat hati untuk meluahkan rasa kasih dan sayang pada ibu yang membesarkannya dan adik-adik terlaksana malam itu. Dipeluk erat ibu tua yang bersabung nyawa melahirkannya dan adik-adik. Airmatanya mengalir, terlalu gembira.

Rupa-rupanya sentuhan kasih sayang itu telah dirancang awal oleh Sofea. Dia menghubungi pasangan suami isteri yang menyediakan perkhidmatan "With Love Surprise Planner" seminggu sebelum tiba hari yang dinanti-nantikan. Merancang dengan baik dan mendapatkan khidmat "kejutan" yang penuh kasih sayang itu, Sofea merasakan harga senyuman dan kegembiraan ibunya malam itu jauh lebih bernilai dari wang ringgit.

Itulah secebis kisah menyentuh hati di antara ribuan kisah lain yang berlaku di depan mata pasangan suami isteri yang mengambil inisiatif menawarkan khidmat "With Love Surprise Planner" di sekitar kawasan zon utara semenanjung.

Menurut Sis Farhaa, dia dan suami pada mulanya hanya sekadar suka-suka menyediakan khidmat "surprise" kepada rakan taulan mereka. Namun melihat kegembiraan demi kegembiraan yang terpancar di wajah para pelanggan, mereka mula serius menawarkan khidmat tersebut sepenuh masa.

Bertapak di Alor Setar kira-kira 2 tahun lalu, "With Love Surprise Planner" telah menawarkan khidmat mereka hingga ke Pulau Pinang, Perlis, Langkawi, Kulim dan utara Perak. Dengan nilai kegembiraan yang menyentuh hati, para pelanggannya merasakan sangat berbaloi dengan harga perkhidmatan yang ditawarkan.

Menurutnya lagi, banyak lagi khidmat yang ditawarkan "With Love Surprise Planner" selain kejutan di hari lahir seperti "surprise" ulangtahun perkahwinan, kelahiran bayi, graduasi di hari konvokesyen, "candle light dinner", hiasan bilik hotel atau rumah, dan banyak lagi.


"Ada juga kami buat 'outdoor event' untuk majlis-majlis tertentu. Selalunya kami ikut kehendak pelanggan dan kadang-kadang beri cadangan tertentu. Kami takde pakej tertentu sebab kami letakkan keutamaan kepada kepuasan pelanggan.

"Ramai yang dah kami 'kejutkan'. Ada yang terkejut terima bunga di kem tentera, ada di balai polis, hospital, wad hospital, rumah, pejabat kerajaan, pejabat swasta, sekolah, taman bunga, restoran, hotel, coffee house dan sebagainya.


"Ada yang minta khidmat kami untuk minta maaf pada kekasih, baru-baru ni kami diminta 'surprise'kan pemain JDT, Azamuddin Akil (Alex). Sebelum tu pemain Kedah pun kami pernah 'surprise'.. Amar Rohidan dan Mohd Ifwat Akmal.

"Apa yang jadi keutamaan kami ialah pelanggan. Kami mahu mereka gembira dan terharu dengan nilai kasih sayang. Itu yang utama. Jadi, setiap pelanggan itu cukup istimewa bagi kami," jelasnya.


Menawarkan khidmat secara online, "With Love Surprise Planner" merupakan sebuah syarikat berdaftar dan aktif menawarkan perkhidmatan mereka kepada pelanggan di media sosial khususnya Facebook dan Instagram.

Bagi yang mahu mengejutkan insan tersayang, maka boleh lawati laman Facebook "With Love Surprise Planner" di url: https://www.facebook.com/WithLoveSupriseDelivery/ atau layari laman Instagram mereka di url: https://www.instagram.com/withlove_surpriseplanner/?hl=en.



"Alhamdulillah, hingga kini kami diberikan kepercayaan oleh ribuan pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat kami selama ini. Dah ada regular customer dan khidmat kami tersebar cepat dari mulut ke mulut, terutama di kawasan utara ni.

"InsyaAllah, kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk gembirakan para pelanggan. Sokongan dan sambutan yang diberikan membuat kami terharu dan cukup bersemangat untuk mengembirakan semua," kata Sis Farhaa ketika ditemu bual. -Kedahnews.com