100 Hari Pentadbiran Ahmad Bashah - Perspektif Pembangkang


ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah ke-12, pada 4 Februari lalu. Tanggal 12 Mei, genaplah 100 hari pentadbiran beliau dengan membawa tagline ‘Muafakat Kedah’.

Sebelum ini, Ahmad Bashah pernah meminta 2.3 juta rakyat Kedah supaya tidak hanya menunggu 100 hari pentadbirannya untuk melihat pencapaian yang dibuat sebaliknya menanti perancangannya untuk tempoh lebih panjang selagi diberikan mandat.

Sempena sambutan 100 hari pentadbiran Ahmad Bashah, beliau bukan sahaja mengetengahkan pencapaian, malah perancangan dan hala tuju kerajaan negeri dalam tempoh dua tahun sebelum berakhirnya penggal ini.


Orang ramai boleh mendapatkan buku kecil 100 hari pentadbiran Menteri Besar yang diedar percuma di seluruh daerah. Nantikan juga tiga kejutan yang diumumkan sempena sambutan tersebut.

Hala tuju Kedah dibentang       

Ahmad Bashah akan membentangkan hala tuju kerajaan negeri menerajui Kedah dalam tempoh berbaki dua tahun sebelum pilihan raya dijangka diadakan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, antara keutamaan dalam pentadbiran adalah pendekatan yang praktikal serta menjadi keperluan berdasarkan kepada situasi negeri.

“Stail kepimpinan beliau yang mengamalkan dasar buka pintu, merakyatkan pemerintahan serta demokrasikan pentadbiran ternyata memberikan maklum balas positif. Agenda lain diberi keutamaan antaranya untuk generasi muda merangkumi 40 peratus, pendidikan untuk melestarikan kapital kemanusiaan serta pengukuhan ekonomi,” katanya.


Menurutnya, sejak awal beliau mengambil alih pentadbiran negeri, Ahmad Bashah telah mengumumkan pendekatan mesra rakyat dengan meminimumkan protokol tertinggi selain memastikan tiada jurang wujud antara dirinya dengan rakyat.

“Beliau juga berikrar akan meneruskan agenda dan misi yang memberi manfaat kepada Kedah pada masa akan datang, sekiranya terus diberikan mandat sebagai Menteri Besar,” katanya.

Mesra pembangkang

Adun Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi menyifatkan Ahmad Bashah seorang pemimpin mesra pembangkang sejak mengenali beliau pada 1999.

“Hubungan sesama wakil rakyat tetap ada walau dari parti berbeza, tambahan berjiran dengan kawasan diwakili Ahmad Bashah, iaitu Alor Setar di mana beliau menghormati peranan masing-masing,” katanya.


Menurutnya, wakil rakyat pembangkang juga tidak pernah berasa kekok dengan kehadiran Ahmad Bashah, malah bagaikan rakan lama dalam politik.

“Beliau seorang yang mesra dan saling menghormati. Ketika beliau pembangkang, penampilan dan pendekatan politik tetap harmoni. Malah wujud hubungan tidak formal melalui persahabatan dengan wakil rakyat pembangkang,” katanya.

Adun Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi
Phahrolrazi berkata, dalam usaha mendapatkan pengaruh politik, tidak wujud ketegangan atau pertembungan berikutan suasana politik Kedah yang sihat.

“Sikap terbuka Ahmad Bashah disenangi rakan mahupun lawan politik, berikutan tidak agresif bertindak melulu menyerang pemimpin lawan. Kepimpinan beliau wajar diteladani pelapis di mana mampu mengukuhkan akar umbi di kawasan,” katanya.

Tidak mustahillah, pendekatan itu menyebabkan pengaruh beliau kuat dan menang setiap kali bertanding pilihan raya umum di bahagian Alor Setar.

“Beliau bermula dalam politik dari bawah dan diangkat secara berperingkat, bukan pemimpin payung terjun. Ini kelebihannya dan saya menghormati beliau setelah diberi mandat terajui Kedah. Saya  harap beliau tunaikan tugas dengan baik, kami pula berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri,” katanya.


Menurutnya, Ahmad Bashah perlu memberi lebih perhatian terhadap isu perumahan kerana permintaan tinggi sektor itu berbanding penawaran rendah.

“Harga rumah melonjak tinggi, diharap dapat sediakan lebih banyak rumah pada harga mampu dimiliki rakyat Kedah. Aspek lain yang perlu diberi tumpuan ialah mewujudkan peluang kerja kepada anak Kedah lepasan IPT menerusi skim tertentu bagi mengelak pengangguran tinggi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian