13 Jalan Raya Paling Cantik, Bahaya Dan Pelik Di Dunia

Lebuh raya atas air di China.
Memandu dari satu tempat ke satu tempat kadang-kala membosankan, tetapi tahukah anda terdapat jalan yang membuatkan perjalanan anda lebih menarik.

Di sini disenaraikan 13 jalan raya paling menarik, sukar dan bahaya di dunia yang pasti menjadikan perjalanan anda pengalaman yang sukar dilupakan.

1. Baldwin Street di Dunedin, New Zealand.


Walaupun ia mungkin sama dengan jalan biasa yang terdapat di pinggir bandar, Baldwin Street di Dunedin ini sememangnya berbeza. Jalan berbahaya ini diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness sebagai jalan paling curam di dunia, dengan ramai pelancong cuba berlumba atau berjalan naik di curam setinggi 350 meter itu. Untuk keselamatan pengguna, bahagian atas jalan itu diturap dengan konkrit kerana ia penting terutamanya pada musim sejuk.

2. Terowong Laerdal, Norway.


Bagi mereka yang fobia berada di bawah tanah, anda mungkin perlu mencari laluan alternatif lain untuk ke Terowong Laerdal di Norway yang sepanjang 24.5 kilometer.

Jalan itu menghubungkan Laerdal dengan Aurland dan pengguna perlu memandu terowong menembusi pergunungan setinggi hampir 1,800 meter. Pembinaan terowong itu menelan kos sekitar AS$113.1 juta (RM436.8 juta) bertujuan untuk menangani isu salji lebat yang dialami pengguna jalan di Norway.

3. Jalan D915 Bayburt, Turki.


Jalan ini dianggap paling berbahaya di dunia sehingga mendapat gelaran laluan ke neraka kerana menyebabkan banyak kematian. Laman sesawang dangerousroads.org meletakkan Jalan D915 Bayburt di tempat pertama paling bahaya di dunia berbanding `Jalan Maut’ di Bolivia kerana terlalu berbahaya dan berliku. Jalan sepanjang 106 kilometer melalui kaki bukit Gunung Soganli setinggi 1,800 meter ini mempunyai 29 selekoh tajam. Ia tidak mempunyai penghadang untuk mengelak kenderaan terbabas ke dalam gaung dan sebahagian jalan ditutup pada musim sejuk ekoran ribut salji dan ais.

4. Jambatan Millau Viaduct, Perancis.


Bagi yang takutkan ketinggian, jangan sesekali cuba untuk melalui jambatan ini. Dengan ketinggian 104 meter, jambatan ini lebih tinggi dari Menara Eiffel. Pembinaan jambatan ini menelan belanja sebanyak 400 juta euro (RM1.75 bilion). Apabila kabel jambatan yang merentasi Sungai Tarn itu dipasang, ia memerlukan kejuruteraan khas bagi mengatasi angin berkelajuan 152 kilometer sejam yang melanda lembah itu.

Sejak dibuka pada 2004, ia sudah membuat beberapa penampilan di televisyen dan juga filem termasuk rancangan Top Gear. Ia turut muncul dalam filem Mr Bean’s Holiday.

5. Laluan Tateyama Kurobe Alpine, Jepun.


Terletak di tengah-tengah tembok salji setinggi 20 meter, Laluan Tateyama Kurobe Alpine ini kelihatan seperti trek di dalam permainan video, Mario Kart. Laluan yang terletak di Jepun ini menarik kunjungan berjuta-juta pelancong setiap tahun sejak ia dibuka pada 1971.

6. La Paz, Bolivia.


Jalan ini bermula pada ketinggian 4,700 meter dan dianggarkan sebanyak 300 orang mati setiap tahun, namun ia menjadi pilihan utama pelancong yang ingin mencari keseronokan. Digelar ‘El Camino de la Muerte’ (Jalan Maut) dan disifatkan ramai orang sebagai jalan paling berbahaya di dunia. Perjalanan sejauh 64 kilometer dari kawasan puncak menarik lebih 25,000 penunggang basikal lasak setiap tahun. Sepanjang perjalanan anda boleh menikmati pemandangan menakjubkan bukit bukau di hutan hujan Amazon.

7. Jambatan Storseisundet Atlantic Road, Norway.


Jambatan yang terletak di pantai barat Norway di Atlantic Road ini mampu menipu mata pemandu yang mungkin menyebabkan mereka berpatah balik. Namun, ia sebenarnya hanya satu ilusi optik yang digelar ‘jambatan mabuk.’

Ia terletak di atas jalan raya sepanjang lapan kilometer, yang dibina pada 2005 dan menjadi popular dalam kalangan pelancong.

8. Jambatan Kuandinsky, Russia.


Anda memerlukan keberanian untuk memandu di sepanjang jambatan usang di Russia ini. Untuk menyeberangi jambatan ini, pemandu perlu memandu di atas laluan seluas 1.8 meter lebar, tanpa sebarang penghadang atau ciri-ciri keselamatan untuk menyelamatkan pengguna daripada jatuh ke dalam air tasik yang sejuk itu. Lebih teruk lagi apabila struktur logam lama ditutup dengan papan kayu, yang menyebabkan jalan menjadi licin akibat diliputi salji dan ais.

9. Stelvio Pass, Itali.


Dengan lengkungan 180 darjah dan penghadang jalan yang rendah, Stelvio Pass di Itali bukan jalan yang mudah untuk dilalui. Namun, ia antara jalan yang paling indah kerana terletak setinggi 2,7000 meter di pergunungan Alps, menawarkan pemandangan yang menakjubkan. Dalam keadaan berais, anda perlu memandu berhati-hati ketika melalui selekoh tajam.

10. Lebuh raya Pan-Amerika.


Jika anda merancang satu perjalanan yang panjang, lebih sesuai menggunakan lebuh raya Pan-Amerika ini. Lebuh raya sepanjang 30,000 kilometer itu melalui 15 negara, bermula dari Alaska hingga ke Amerika Selatan. Idea untuk membina laluan itu bermula pada 1923, merentasi hutan, pergunungan, glasier dan gurun bagi menghubungkan dua benua. Terdapat pelbagai risiko di sepanjang lebuh raya itu termasuk jalan curam, tanah runtuh dan laluan ditenggelami air ketika musim hujan.

11. Lombard Street, San Francisco.


Terletak di antara bangunan di San Francisco, Amerika Syarikat terdapat satu laluan berliku yang digelar jalan paling bengkang-bengkok di dunia. Kira-kira 2,000 kenderaan melalui jalan itu setiap minggu terutamanya ketika musim pelancongan. Ia terkenal kerana sepanjang jalan diturap dengan bata merah dan mempunyai lapan selekoh tajam. Jalan itu juga pernah dipaparkan dalam televisyen, filem dan permainan video. Jalan berbentuk zig zag itu mempunyai had kelajuan hanya lapan kilometer sejam.

12. Lebuh raya Eyre, Australia.


Berbeza dengan kebanyakan jalan raya di tempat lain, lebuh raya di Australia ini hanya lurus. Lebuh raya Eyre di sepanjang Nullarbor Plain ini adalah jalan yang terpanjang di Australia, dengan jarak antara bandar dipisahkan sejauh 321 kilometer. Lebuh raya sepanjang 1,700 kilometer itu mengambil masa kira-kira dua hari untuk dilalui dan boleh menjadi sangat panas dan berdebu ketika musim panas.

13. Lebuh raya atas air di China.


Laluan menakjubkan ini dibuka tahun lalu di wilayah Hubei, tengah China, dengan pengguna jalan raya benar-benar memandu di atas air. Lebuh raya sepanjang 10.9 kilometer itu dibina di tengah-tengah lembah sungai, membolehkan pengguna turut menikmati pemandangan bukit bukau dan perkampungan berhampiran. Jalan itu menghubungkan daerah Xingshan dengan lebuh raya G42, jalan berkelajuan tinggi yang menghubungkan Shanghai dengan Chengdu di barat daya China. -Agensi