3 Kakitangan Jabatan Agama Islam Dituduh Guna MC Palsu

TIGA individu dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SEREMBAN - Tiga kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan menggunakan sijil cuti sakit palsu, sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Mazlan Ahmad, 48; Rosyanizam Yahya, 38; dan Muhamad Hafiz Mohamad Sarpan, 33, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Rahimah Rahim.

Mazlan berdepan tiga pertuduhan manakala Rosyanizam (13 pertuduhan) dan Muhamad Hafiz (empat pertuduhan).

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, mereka didakwa menggunakan sijil cuti sakit kerajaan yang diketahui palsu dengan tujuan menipu di pejabat JHEAINS, di sini, antara 27 Februari 2014 hingga 14 April lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ainnan Mohd Rasid dan Siti Khadijah Mohd Pisol manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili Iwana Sakinah Mohd Lajis.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin masing-masing Mazlan RM3,600; Rosyanizam (RM16,100) dan Muhamad Hafiz (RM4,800).

Sumber: myMetro