3 Lagi Suspek Dipercayai Terlibat Kes Samun Ditahan Di Sg Petani

Gambar Hiasan
SUNGAI PETANI – Polis menahan tiga lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kes samun yang berlaku di Taman Patani Jaya pagi semalam, susulan penahanan seorang suspek yang merupakan pelajar lelaki tingkatan lima sebuah sekolah di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan yang dilakukan di Flat Paya Nahu kira-kira pukul 5.45 petang dan di Taman Ria Jaya kira-kira pukul 6.20 petang semalam.

“Dalam serbuan pertama, polis berjaya menahan dua suspek lelaki masing-masing berusia 16 (tidak bersekolah) dan 18 tahun, manakala serbuan kedua pula membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berusia 18 tahun.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, dan dua suspek daripada suspek yang ditahan mengaku terlibat dalam kes samun pagi semalam,” katanya kepada Bernama, Khamis.

Md Zukir berkata, kesemua suspek yang ditahan itu bagaimanapun dipercayai melakukan beberapa kes samun jalanan pada awal pagi di sekitar kawasan Bakar Arang, Taman Bersatu, Jalan Batu Dua, Taman Patani Jaya, kawasan G-Mart, Taman Berangan dan Bakar Sampah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga suspek direman bermula hari ini sehingga 16 Mei ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi semalam, tiga lelaki menaiki dua motosikal menyamun seorang wanita berusia 49 tahun dan melarikan sebuah telefon bimbit dan sebuah beg berisi dokumen, di hadapan sebuah rumah di Taman Patani Jaya, dekat sini.

Salah seorang suspek yang merupakan pelajar lelaki berusia 17 tahun, berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian, semalam, dan direman selama tiga hari sehingga 13 Mei ini untuk membantu siasatan. – BERNAMA