3 Lelaki Warga Asing Ditahan Terlibat Aktiviti Keganasan

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman menahan tiga lelaki warga asing yang disyaki terlibat aktiviti keganasan di sekitar Selangor, pada 28 Mac dan 22 April lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua suspek yang ditahan itu merupakan dua warga Rusia dan seorang warga Sri Lanka yang berumur lingkungan 23 hingga 42 tahun.

“Tangkapan pertama melibatkan dua lelaki warga Rusia kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh dan mereka pernah ditangkap oleh pihak berkuasa Turki pada Februari lepas kerana didakwa terlibat dalam kegiatan itu di Syria.

“Mereka kemudiannya diusir dari Turki dan memasuki Malaysia pada Mac tahun ini serta ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” kata Khalid dalam kenyataan kelmarin.

Beliau berkata kedua-dua suspek telah diusir ke negara asal pada 13 Mei lepas dalam satu operasi khas.

Suspek ketiga iaitu seorang lelaki warga Sri Lanka yang bekerja sebagai juruteknik kamera litar tertutup di Lembah Klang ditahan kerana disyaki terlibat membuat ugutan bunuh terhadap Presiden dan Perdana Menteri negara itu melalui akaun Facebook miliknya.

Khalid berkata suspek ditahan di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63 dan telah diusir ke Sri Lanka dalam satu operasi khas pada 27 April lepas.

Katanya, kejayaan menangkap suspek adalah hasil kerjasama mantap polis dengan agensi penguat kuasa Sri Lanka.

“Polis dengan kerjasama Jabatan Imigresen akan sentiasa memantau rapi kemasukan warga asing dari negara-negara yang berisiko dan memperketatkan kawalan di pintu masuk negara.

“Kami akan memastikan tiada anasir-anasir kumpulan pengganas menyusup masuk ke Malaysia ini untuk berlindung ataupun menjadikan negara ini sebagai sasaran,” katanya. – BERNAMA