44 Kereta Terbakar Dipercayai Angkara Khianat - PDRM


SEREMBAN - Polis percaya kebakaran sebuah bengkel membaiki kenderaan di Kampung Ribu, Kuala Sawah tengah malam tadi yang menyaksikan sebanyak 44 buah kereta musnah adalah akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun berkata siasatan ditempat kejadian telah dijalankan oleh pegawai penyiasat dengan dibantu oleh pasukan forensik polis dan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat di mana bukti-bukti fizikal sedang dikumpul dan beberapa sampel diambil untuk dianalisis.

"Hasil siasatan awal kita percaya ada unsur khianat dalam kejadian kebakaran itu. Ini berdasarkan sampel yang dikesan ditempat kejadian mendapati ianya merupakan suatu bahan accelerant (cecair) yang disyaki menjadi punca kepada kebakaran itu.

"Pihak bomba sahkan kebakaran tidak disebabkan oleh sebab semula jadi atau litar pintas. Kerugian dianggarkan sebanyak RM400,000 iaitu melibatkan 44 buah kereta yang terbakar di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Muhamad Zaki berkata bagaimana pun siasatan lanjut akan diteruskan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sumber: mStar