60 Pelajar UUM Cipta Rekod Harung Arus Sg Sedim

Sahol bersama pelajar lepasan SPM yang datang merebut peluang untuk melanjutkan pelajaran pada program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016, kelmarin.
KULIM - Seramai 60 pelajar Kem Kembara 111 Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mengharungi arus deras Sungai Sedim.

Pengarah Projek, Ng Wen Kai berkata, kebanyakan peserta program tersebut adalah pertama kali berdepan dengan arus deras di Sungai Sedim.

“Program tiga hari dua malam ini betul-betul menguji ketahanan peserta dan daya kreativiti mereka untuk menjayakan aktiviti yang diatur termasuk berkayak mengharungi arus deras.

"Keberanian mereka turut diuji dengan aktiviti terjun dari tempat tinggi, menyeberangi sungai dan fliying fox,” katanya.

Katanya, program itu dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan peserta dan lebih mengenali antara satu sama lain.

“Setiap aktiviti yang diatur mempunyai kebaikan dan memberi manfaat kepada pelajar atau peserta itu sendiri dan dapat aplikasikan ke dalam kehidupan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar Pentadbiran Perniagaan, Siti Hasnita Hassan, 22, berkata, Kegiatan Luar Kampus (KLK) bertujuan memupuk keyakinan dalam diri pelajar dengan melibatkan diri dalam setiap aktiviti dari aspek pembinaan sahsiah dan kepimpinan.

“Kembara ini untuk melengkapkan diri mahasiswa dalam kursus kejurulatihan Rekreasi serta mempraktikkan segala teori yang dipelajari semasa pembelajaran di dalam kelas untuk mendedahkan pelajar kepada dunia sebenar yang luas dan mencabar,” katanya.

Sementara itu, Norfarhah Wahidah Mohd Pisal, 21, berkata program tiga hari dua malam itu mendedahkan peserta dengan ilmu di dalam hutan, ikhtiar hidup dan belajar berdikari.

“Kami sampai di Sedim jam 10 malam ketika itu dengan keadaan malam yang gelap, semua pihak bekerjasama mendirikan khemah dan membuat persiapan memasak secara bergotong-royong untuk hari esok.

“Setiap kumpulan dibekalkan dengan telur, beras, bawang, tepung dan sardin tanpa peralatan memasak. Kami diajar memasak cara survival, korek bawang untuk dimasukkan telur, tepung dibancuh menjadi doh dengan melilit di batang kayu untuk dibakar, memang sangat menyeronokkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian