7,000 Rumah Penjawat Awam Akan Dibangunkan - Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Sebanyak 7,000 unit rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) akan dibangunkan di seluruh daerah di negeri ini dengan harga berpatutan atau lebih rendah daripada harga pasaran.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Badhah Md Hanipah berkata, bagi tujuan itu beberapa lokasi strategik di sekitar daerah Kulim, Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Pokok Sena dipilih untuk dibangunkan projek rumah mampu milik ini dengan kerajaan negeri menyalurkan subsidi antara 15 hingga 20 peratus kepada penjawat awam.

"Antara projek yang sudah dibangunkan melalui usahasama di antara kerajaan dan swasta ini ialah Program Perumahan Belliza di Tanah Merah, daerah Kubang Pasu dan Projek Perumahan Taman Sayang di Jalan Kuala Sungai, daerah Kota Setar.

"Kesemua projek ini bukan saja menawarkan harga lebih rendah dari harga pasaran kepada penjawat awam, malah persekitaran kawasan perumahan selesa serta reka bentuk rumah yang menarik," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perasmian dan Pelancaran PPA1M Peringkat Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini, hari ini.

Katanya, pelbagai aspek diambil kira dalam melaksanakan program berkenaan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga seperti pemilihan lokasi yang sesuai iaitu berhampiran dengan pusat pentadbiran untuk memudahkan pergerakan penjawat awam ke tempat kerja.

Ahmad Bashah sebelum ini terpalit dengan propaganda "lena" oleh bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir dan membuktikan beliau mampu memberi khidmat serta kebajikan secara holistik kepada seluruh rakyat negeri Kedah.

Difahamkan, Menteri Besar Kedah itu akan mengumumkan hala tuju Kerajaan Negeri dalam satu majlis "AMANAT 100 Hari Ahmad Bashah" pada 22 Mei ini bagi meneruskan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan. -Kedahnews.com