Di satu kawasan terpencil di barat daya Ethiopia, terdapat satu kaum unik yang tinggal di dalam pondok rumput dan terkenal dengan hiasan badan luar biasa.
Orang Surma yang terdiri daripada suku Suri dan Mursi itu terkenal dengan hiasan piring di bibir mengagumkan yang dianggap sebagai simbol kecantikan serta status seorang wanita.
Bagaimanapun, gaya hidup mereka secara perlahan-lahan terhakis akibat musim kemarau melampau, pembinaan empangan dan penubuhan taman negara yang mengancam penempatan kaum itu.
Keunikan orang Surma ini menarik seorang jurugambar, Louisa Seton untuk mengembara ke negara Afrika itu bagi mencari dan merekod kehidupan kaum luar biasa itu.
Dia berharap dapat merakam keindahan kehidupan kaum tradisional ini sebelum ia hilang ditelan arus kemodenan.
Louisa yang dilahirkan di Nairobi, Kenya tetapi menetap di Sydney, Australia, pergi ke perkampungan orang Surma pada 2015 untuk tinggal dan merakam kehidupan mereka.
Dia turut menggunakan peluang berkenaan untuk merakam gambar kehidupan suku kaum Hamer.
“Ramai orang merakam mesej negatif mengenai Afrika dengan mempamerkan peperangan, kebuluran dan pergelutan.
“Tetapi saya mahu menunjukkan keindahan kehidupan kaum yang luar biasa, kuat dan penuh dengan kebanggaan ini,” katanya.
Sumber: myMetro