8 Wanita Iran Tanpa Hijab, Seksi Di Video Muzik Ditahan


TEHRAN – Pemerintah Iran terpaksa menangkap lapan orang wanita didakwa terlibat dalam penerbitan satu rakaman video muzik yang dianggap sebagai mencolok mata, menurut laporan media tempatan.

Ini kerana kumpulan wanita dalam video tersebut didapati langsung tidak memakai hijab sekali gus mendedahkan aurat tubuh diri mereka untuk bebas disaksikan pula oleh golongan lelaki yang bukan muhrim.

“Lapan orang yang menerbitkan klip video muzik itu disiarkan di saluran televisyen antirevolusi yang terkenal, ditangkap di ibu kota Tehran pada minggu lalu,” kata pendakwa raya Tehran, Abbas Jafarabadi.

Menurut laporan akhbar, kelapan-lapan suspek bakal dikenakan hukuman berat setelah kes mereka dibicarakan oleh panel hakim yang dikhususkan dalam isu pelanggaran adat budaya dan media tempatan.

Di Iran, wanita ditegah menyanyi tanpa memakai hijab atau bergandingan dengan lelaki dalam mana-mana rancangan televisyen kerana boleh disabitkan sebagai melakukan kesalahan moral dan syariah.


Puluhan saluran televisyen berbahasa Parsi tetapi berpangkalan di luar Iran disiarkan melalui satelit antarabangsa sering menyiarkan program video muzik, siri drama atau filem manakala sedikit sahaja siaran berita.

Dianggarkan hampir 50 peratus daripada 75 juta rakyat Iran menonton pelbagai siaran televisyen asing itu antaranya BBC Persian Service, Euronews Persian Channel dan Voice of America versi bahasa Parsi.

Waima dilarang keras di Iran, terdapat beberapa saluran hiburan yang cukup terkenal dalam kalangan masyarakat setempat terutama golongan muda dengan mereka pula dapat mengaksesnya secara haram.

Laporan media itu juga menyatakan bahawa penangkapan lapan wanita tersebut susulan penahanan 30 siswazah universiti yang berpesta liar di utara Iran. Mereka dijatuhi hukuman 99 sebatan setiap seorang.

Pada pertengahan Mei lalu, seramai lapan model wanita Iran berjaya ditangkap kerana dianggap menaikmuatkan gambar tidak bermoral mereka menerusi media sosial tempatan. – Agensi