Adik Ieman bersama ibunya, Nor Hidayu. |
ALOR SETAR - Walaupun nampak sihat, hakikatnya bayi berusia enam bulan dari Kampung Ulu, Kuala Kedah ini dikesan mengidap empat penyakit kronik kira-kira dua bulan lepas.
Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim, didakwa mengidap penyakit jantung, masalah paru-paru, asma dan sawan hingga membuatkan dia bergantung kepada mesin pernafasan.
Ibunya, Nor Hidayu Halim, 27, berkata, walaupun anak bongsu dari tiga beradik berkenaan nampak normal namun keadaan kesihatannya tidak menentu.
“Bila dia kena sawan, jantung macam berhenti. Yang merisaukan dia boleh kena tak kira masa. Ada kalanya, sehari dia sawan sekali, lepas tu berhenti. Kemudian datang balik sampai perlu diberi perhatian penuh,” katanya.
Kata Nor Hidayu, dia pernah terfikir untuk bekerja demi meringankan beban suami, Abdul Rahim Ismail, 31, yang meniaga air kelapa untuk menampung kos hidup mereka.
“Tapi masalahnya saya tak boleh tinggalkan Ieman dalam tempoh lebih lima minit sekalipun sebab bimbang dia akan menarik saluran pernafasan pada hidung,” katanya.
Katanya, anak ketiga dari empat beradik itu memerlukan kos perubatan, bagaimanapun kesempitan hidup membuatkan mereka buntu mencari sejumlah wang itu.
Dalam pada itu, mereka turut menanggung dua anak Ahmad Hafizy, 9, yang juga OKU dan anak kedua, Ahmad Amirul Amin, 6.
Akibat tidak berkemampuan, katanya, mereka terpaksa meminta bantuan bapanya, Halim Said, 56, yang bekerja sebagai nelayan dengan upah RM30 sehari untuk menyara hidup.
Susulan itu, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyelami permasalahan ditanggung keluarga Hidayu dengan turun padang melawat adik Ieman, semalam.
Menurut Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat LZNK, Mohd Sani Harun, pihak mereka mendapati situasi bayi berkenaan agak serius.
Katanya, mereka difahamkan bayi berkenaan memerlukan sejumlah kos kerana dia perlu di hantar ke Hospital Pulau Pinang.
Oleh demikian, beliau berkata, pihak LZNK bersetuju memberi bantuan sekaligus sebanyak RM2,500 demi membantu mengurangkan beban keluarga yang bergantung kepada pendapatan bapanya semata-mata.
Bagi mereka berhasrat meringankan bebanan adik Ieman bolehlah berbuat sedemikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama ibunya Nor Hidayu Halim (0210029000677695).
Sumber: Sinar Harian