Ahmad Bashah Disenangi Kawan Dan Lawan - Phahrolrazi Zawawi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR - Adun Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai "orang lama politik Kedah" dan seorang pemimpin mesra pembangkang sejak mengenali beliau pada 1999.

Phahrolrazi berkata, Ahmad Bashah yang beliau kenali merupakan seorang yang kaya dengan pengalaman dari segenap sudut berkenaan politik dan pentadbiran di negeri Kedah, serta menghormati peranan semua pihak walaupun pemimpin parti pembangkang.

“Hubungan sesama wakil rakyat tetap ada walau dari parti berbeza, tambahan berjiran dengan kawasan diwakili Ahmad Bashah, iaitu Alor Setar di mana beliau menghormati peranan masing-masing,” katanya yang dipetik dari sumber.

Adun Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Zawawi
Menurut orang kuat Parti Amanah Negara (PAN) itu lagi, wakil rakyat pembangkang sepertinya juga tidak pernah berasa kekok dengan kehadiran Ahmad Bashah, malah mereka bagaikan rakan lama dalam politik.

“Beliau seorang yang mesra dan saling menghormati. Ketika beliau pembangkang pun, penampilan sama termasuk pendekatan politik yang harmoni.

"Malah wujud hubungan tidak formal melalui persahabatan dengan wakil rakyat pembangkang yang tidak pernah disisihkan,” katanya lagi.


Selain itu, dalam usaha mendapatkan pengaruh politik, Phahrolrazi menjelaskan bahawa tidak wujud ketegangan atau pertembungan berikutan suasana politik Kedah yang sihat dan kekal sejahtera, tidak seperti di negeri lain.

Keterbukaan Ahmad Bashah juga menurut beliau telah menyebabkan Menteri Besar Kedah itu disenangi dan dihormati kawan serta lawan.

Phahrolrazi turut menyarankan kepada golongan pelapis politik di negeri tersebut supaya mencontohi sikap Ahmad Bashah yang tidak cepat "melatah" dan bertindak melulu berhubung sesuatu isu, khususnya politik.

“Sikap terbuka Ahmad Bashah juga disenangi rakan mahupun lawan, pendekatannya dalam politik disenangi pembangkang berikutan tidak agresif bertindak melulu menyerang pemimpin lawan.

"Kepimpinan beliau wajar diteladani pelapis di mana mampu mengukuhkan akar umbi di kawasan,” katanya.

Tidak mustahillah katanya, pendekatan itu menyebabkan pengaruh Ahmad Bashah kuat dan beliau mampu menang setiap kali bertanding pilihan raya umum di bahagian Dewan Undangan Negeri (Dun) Bakar Bata, di sini.

Mengenali Ahmad Bashah sejak di zaman awal pembabitannya dalam bidang politik, Phahrolrazi yakin bahawa Menteri Besar itu mampu menunaikan tanggungjawab beliau dengan baik, sekaligus menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan konon beliau "lena".

"Beliau bermula dalam politik dari bawah dan diangkat secara berperingkat, bukan pemimpin payung terjun.

"Ini kelebihannya dan saya tetap menghormati beliau setelah diberi mandat terajui Kedah, diharap beliau tunaikan tugas dengan baik, pada masa sama kami berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri," tegasnya.

Pada pandangan Phahrolrazi, Ahmad Bashah perlu memberi lebih perhatian terhadap isu perumahan di negeri Kedah memandangkan permintaan tinggi sektor itu berbanding penawaran yang rendah.

"Harga rumah melonjak tinggi, diharap dapat sediakan lebih banyak rumah pada harga mampu dimiliki rakyat Kedah.

"Aspek lain yang perlu diberi tumpuan ialah mewujudkan peluang kerja kepada anak Kedah lepasan IPT menerusi skim tertentu bagi mengelak pengangguran tinggi,” katanya Phahrolrazi yang pernah menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri sewaktu PAS diperintah PAS sebelum ini. -Kedahnews.com