Air Pasang Besar: Terminal Feri Kuala Kedah Banjir Lagi

Air masin melimpah hingga ke jalan raya. Gambar kecil: Mohd Nasir
KUALA KEDAH - Kawasan Terminal Feri Kuala Kedah dilapor telah dilanda 'banjir air masin' susulan fenomena  air pasang besar, sejak Sabtu lalu.

Peniaga di kawasan berkenaan, Abdul Wahab Abdul Rahman, 56, berkata, situasi terbabit adalah keadaan biasa yang terpaksa mereka lalui tiap kali tibanya fenomena terbabit.

“Selalu fenomena terbabit akan berlarutan selama  tiga hari, dan hari ini (kelmarin) merupakan hari kedua, dan paras air sudah mencecah paras lutut,” katanya.

Menurut Abdul Wahab, air mulai melimpah di kawasan terminal sekitar jam 1 petang, dan sehingga jam enam petang air masih belum surut.

“Lazimnya, fenomena air pasang besar akan berlaku pada setiap pertengahan dan penghujung bulan Hijrah. Yang membezakannya hanya paras air, sama ada tinggi atau tidak,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Katanya lagi, beberapa pelancong yang baru tiba dari Langkawi terkejut apabila mendapati kereta mereka dimasuki air.

“Sebilangan pelancong yang meletakkan kereta di hadapan Bank RHB tidak dapat menghidupkan enjin kereta mereka kerana air memasuki ekzos kereta,” katanya.

Zulkifli Derani, 25, yang baru pulang dari bercuti di Langkawi, terpaksa meredah air di sepanjang jalan keluar dari terminal kerana abangnya tidak dapat melalui jalan raya yang digenangi air masin terbabit.

“Fenomena berkenaan sudah menjadi lumrah di Kuala Kedah, oleh itu saya tidak berani untuk meletakkan kereta di sini, dan meminta abang untuk menghantar dan mengambil saya," katanya.

Sementara itu, Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa berkata,  tahun 2012 pernah mencatatkan fenomena air pasang besar yang sangat teruk.

“Fenomena ini bukan sahaja membawa air laut di kawasan tepi pantai ke kawasan terminal feri Kuala Kedah, malah turut membawa air laut ke dalam sawah padi,” katanya.

Selain penduduk setempat  terjejas, pelancong ke Langkawi yang meletak kenderaan di kawasan terminal juga terkesan dengan fenomena berkenaan.

“Banyak kereta pelancong yang ditenggelami air masin yang jelas akan merosakkan kereta mereka,”

“Mereka masih berada di Langkawi ketika kejadian terbabit berlaku, sudah pasti mereka tidak sempat menyelamatkan kenderaan masing-masing," katanya.

Menurutnya, jika pengusaha parkir kereta berusaha menyelamatkan kenderaan pelanggan mereka, ke mana mereka hendak bawa semua kenderaan terbabit kerana kawasan sangat terhad.

“Mungkin pihak tertentu memerlukan kos yang tinggi untuk membanteras kejadian terbabit kerana fenomena alam seperti ini, sukar untuk dielakkan,” katanya

Mohd Nasir berkata, oleh itu, dia berpendapat amaran awal yang lebih cekap dan berkesan, adalah suatu langkah yang diperlukan untuk mengelak kerugian lebih besar.

Difahamkan kejadian banjir sebegitu telah berlaku sejak beberapa lama termasuk ketika negeri Kedah dikuasai PAS sebelum ini, namun masalah tersebut masih gagal diselesaikan. -Kedahnews.com