Aliff Syukri Perlu Berhenti Atau Berdepan Tindakan - KFA


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menuntut Pengasas D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman supaya tidak memanjangkan lagi isu penolakan tajaan kepada skuad Lang Merah dengan kenyataan-kenyataan yang tidak tepat.

Timbalan Presiden KFA, Dato' Bijaya Indera Dato' Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah dalam kenyataannya berkata, pihak KFA tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap Aliff Syukri sekiranya terus cuba menjejaskan imej KFA.

"Pihak KFA juga amat kesal dengan kenyataan keras dan tidak tepat pihak D Herbs dalam menangani isu tajaan ini.

"Pihak KFA tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ini namun sekiranya pihak D Herbs terus menerus mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej KFA dan Presidennya, maka pihak KFA tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Walau bagaimanapun, Syed Unan Mashri tidak menjelaskan bentuk-bentuk tindakan tersebut.

Menurut Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah itu lagi, tindakan menolak tajaan dari mana-mana pihak adalah satu amalan biasa dalam mana-mana rundingan yang membabitkan KFA sebelum ini dan tidak perlu digembar-gemburkan untuk mencetus kontroversi.

"Berhubung dengan kenyataan media yang dibuat oleh pihak D Herbs pada 6 Mei 2016 pihak KFA ingin menegaskan bahawa penolakan tawaran tajaan tersebut adalah sesuatu amalan kebiasaan dalam sesuatu rundingan," tegas beliau.

Aliff Syukri sebelum ini meradang apabila KFA menolak cadangan pihaknya untuk menaja skuad bola sepak utama Kedah sebanyak RM30 juta untuk tiga tahun dan bergegas membuat sidang akhbar yang menjejaskan imej KFA dan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Pengasas D'Herbs itu dalam kenyataannya mendakwa kononnya Ahmad Bashah dan KFA sebagai "berbohong" berhubung syarat tajaan syarikatnya membabitkan cadangan usahasama di sebidang tanah untuk dibangunkan untuk tujuan kormesil.

Difahamkan tanah yang dimaksudkan tersebut terletak di Daerah Pokok Sena dan bukan merupakan milik KFA, dikatakan menjadi antara penyebab utama perjanjian tajaan itu tidak dapat diteruskan.

Turut difahamkan bahawa terdapat 49 syarat yang dikemukakan Aliff Syukri dalam cadangan perjanjian tajaan tersebut dan beberapa syarat tersebut dikatakan agak melampau serta tidak dapat dipenuhi.

Ramai penyokong Kedah yang tidak faham tentang kedudukan sebenar mengenai penolakan tajaan itu bertindak mengutuk dan memfitnah Ahmad Bashah konon Menteri Besar Kedah itu cuba mendapatkan keuntungan peribadi dari tajaan berkenaan.

Ahmad Bashah dalam satu kenyataannya sebelum ini menegaskan perjanjian tajaan itu tidak dapat diteruskan ekoran beliau perlu mengutamakan serta menjaga amanah dan kepentingan negeri Kedah, walaupun terpaksa melepaskan tajaan D'Herbs. -Kedahnews.com