Allah Jamin Pelihara Al-Quran Hingga Ke Hari Kebangkitan


SUDAH hampir 1,500 tahun, namun ia tetap kekal asli, tulen dan terjaga. Itulah kehebatan al-Quran yang mendapat jaminan khusus penjagaannya oleh Allah:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kamilah jua yang menjamin untuk menjaganya (daripada sebarang perubahan, penambahan atau pengurangan isinya),” (al-Hijr[15:9]).
Ayat ini bukan calang-calang sifatnya. Bagi yang mendalami Bahasa Arab, mereka akan faham aspek sastera dan tata bahasa yang digunakan Allah dalam ayat ini mengandungi maksud pengukuhan berganda (Taukid).
Walaupun ringkas, ayat ini menegaskan secara tuntas bahawa Allah sendiri menjamin penjagaan al-Quran daripada sebarang penyelewengan manusia. Kitab lain seperti Taurat, Zabur dan Injil hanya kekal namanya sahaja dan tidak pada isinya. Al-Quran pula kekal pada nama dan isinya.

Ketiga-tiga perkara di atas tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya digerakkan Allah yang menjamin sendiri penjagaan al-Quran. Berbeza dengan kitab Taurat atau Injil, penjagaannya diamanahkan kepada para ulama Yahudi dan Nasrani sebagaimana firman Allah:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi dengan Kitab itu para nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan para pendetanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum daripada Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula menjadi penjaga dan pengawasnya (daripada sebarang perubahan...,” (al-Ma’idah [5:44]).
Terbukti penjagaan makhluk seperti mereka gagal menjamin kesucian kedua-dua kitab tersebut. Banyak sekali para ulama mereka yang tidak amanah merosakkan isi kitab Allah itu. Inilah sebabnya Allah sendiri yang menjamin penjagaan al-Quran agar kekal seperti yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

KISAH LELAKI YAHUDI

Ketika mengulas ayat ke-9 surah al-Hijr ini, Imam al-Qurtubi membawa sebuah kisah hebat yang berlaku pada zaman Khalifah al-Ma’mun daripada kerajaan Bani ‘Abbasiyah. Khalifah al-Ma’mun selalu mengadakan majlis perbincangan pelbagai isu dengan rakyatnya. Pada suatu hari seorang lelaki Yahudi yang segak mewangi lagi penuh wibawa menyertai majlis tersebut. Cakap lelaki Yahudi ini juga penuh bijaksana dan mempesonakan semua yang hadir.

Setelah selesai majlis, Khalifah al-Ma’mun bertanya agama anutannya. Lelaki itu menyatakan dia beragama Yahudi. Al-Ma’mun mencadangkan agar dia memeluk Islam dan menjanjikan jawatan yang sesuai dengan kewibawaannya. Lelaki Yahudi itu menolak.

Selepas setahun, lelaki Yahudi itu memeluk Islam dan bertemu kembali dengan Khalifah al-Ma’mun. Bicaranya tentang ilmu fikah sungguh mempesona dan penuh wibawa. Khalifah agak terkejut dan bertanya apa rahsia pengislamannya. Lelaki Yahudi itu lantas menceritakan:

“Setelah aku keluar dari majlismu (wahai Khalifah) aku berhasrat menguji agama ini (Yahudi, Nasrani dan Islam). Aku pula memiliki tulisan tangan yang sungguh cantik sebagaimana yang kamu ketahui dan saksikan. Aku menyalin kitab Taurat dalam tiga salinan berasingan dan pada ketiga salinan itu aku tambah dan kurangkan isi asalnya. Selepas itu aku jual ketiga salinan kitab Taurat itu kepada rumah ibadat Yahudi. Mereka membeli ketiga salinan tersebut (tanpa soal).”

“Selepas itu aku lakukan perkara sama kepada kitab Injil. Ia juga diterima oleh pihak gereja tanpa soal. Kemudian aku tulis pula 3 salinan surah al-Quran bersama penambahan dan pengurangan serta cuba menjualnya kepada seorang tukang kertas (pencetak) untuk dicetak. Setelah melihat salinan al-Quran itu mengandungi penambahan serta pengurangan, dia lantas mencampakkannya jauh dan enggan membelinya.”

“Selepas peristiwa itu, aku sedar bahawa kitab ini (al-Quran) memang terjaga (daripada sebarang perubahan atau pengurangan). Itulah peristiwa yang membawa kepada pengislamanku.” (Tafsir al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 9 surah al-Hijr).

Maha Suci Allah! Hebat sekali cara Allah menjaga kitab-Nya ini. Sungguh beruntung orang Islam yang berbangga, mendalami dan mengamalkan kitab yang sungguh istimewa ini.

Jika kita masih jauh daripada kitab ini, berubahlah segera dan jangan hanya tahu berbangga dengan sesuatu yang jarang kita sentuh. Semoga Allah merahmati kita semua dengan iman yang sebenar kepada al-Quran.

Sumber: Utusan