Amanat 100 Hari: 3 Visi Utama MB Jamin Masa Depan Kedah

Ahmad Bashah bergambar bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah, semalam.
ALOR SETAR – Kerajaan Kedah mahu mengorak langkah ke hadapan dalam menunaikan amanah dan janji yang ditaburkan kepada rakyat bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus terbela.

Perkara itu dizahirkan oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sempena Amanat 100 hari pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu di Wisma Darul Aman, semalam.

Melalui slogan Muafakat Kedah, beliau turut menggariskan tiga visi utama yang perlu dilaksanakan segera oleh setiap kepimpinan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

“Visi yang pertama adalah usaha berterusan mensejahterakan hidup rakyat bagi mencapai keadilan sosial di kalangan masyarakat berbilang kaum. Komponen kedua ialah memaju ekonomi negeri agar pencapaiannya setanding dengan negeri-negeri lain.

“Aspek ketiga pula ialah memastikan pentadbiran negeri dan persekutuan terus dipimpin kerajaan sedia ada (BN). Rasionalnya membolehkan momentum pembangunan yang sedang dilaksanakan tidak tergendala,” katanya.

Menurutnya, beberapa langkah pengisian berpandukan konsep Muafakat Kedah turut digariskan bagi membolehkan ketiga-tiga visi tersebut dapat direalisasikan.

“Kaedah pertama ialah Muafakat Sosial dan Kemasyarakatan yang melibatkan pendekatan turun padang. Ini dapat membantu pemimpin politik, pegawai kerajaan dan penggerak NGO mendapatkan gambaran  sebenar isu yang sedang dihadapi rakyat.

“Caranya ialah dengan melakukan tinjauan ‘walkabout’ di setiap daerah mengikut giliran pada setiap hari Ahad, bertujuan mengenalpasti projek terbengkalai sehingga menyebabkan pembangunan terbantut,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, konsep kedua ialah Muafakat Ekonomi yang bermaksud mengajak penyertaan pihak swasta, usahawan, pelabur serta ahli perniagaan untuk ikut serta memacu ekonomi negeri.

“Kaedah seterusnya melalui Muafakat Pentadbiran, meliputi kerjasama erat antara pemimpin politik dengan perkhidmatan tadbir negeri dan persekutuan. Sekaligus membolehkan usaha pembangunan, program sosio-ekonomi, pembangunan modal insan dan aktiviti berkebajikan dilaksanakan dengan baik.

“Konsep yang keempat adalah Muafakat Politik. Ia bermakna parti politik yang mengetuai kerajaan mengamalkan sikap terbuka. Pihak pembangkang pula berperanan secara membina dengan mengurangkan politik melampau,” katanya.

Jelasnya, budaya kerja berprestasi tinggi juga perlu diterapkan kepada semua anggota exco, perkhidmatan tadbir negeri (KCS), ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan negeri dan semua sektor berkepentingan.

“Terapan dibuat melalui penilaian prestasi (KPI). Sebagai contoh, KPI setiap exco dinilai tiga bulan sekali bermula Mac 2016. Ini merupakan arahan pentadbiran yang dikeluarkan pada 21 Februari yang lalu.

“Penilaian KPI ini turut dicadang diperluskan kepada Adun-adun BN dan pegawai tinggi kerajaan. Di samping itu, amat wajar pihak pentadbiran pelbagai peringkat mengadakan ‘Town Hall Meeting’ pada setiap tahun untuk menilai prestasi dan pencapaian setiap jabatan,” katanya.

Adun Bakar Bata itu turut menegaskan bahawa era kerajaan menguasai segalanya sudah berakhir dan perlu mengamalkan dasar pintu terbuka.

“Pendekatan elit dalam membuat keputusan sudah tidak lagi relevan, sebaliknya input dari bawah menjadi pilihan.

“Oleh demikian, pentadbiran kerajaan perlu responsif dan proaktif. Tidak sekadar menunggu aduan sebaliknya harus keluar mendekati isu-isu untuk diambil tindakan,” katanya.

Ujarnya, dalam usaha membentuk sistem pentadbiran yang dinamik dan selari dengan tuntutan semasa, pintu pejabat perlu dibuka seluas-luasnya.

“Bagi memenuhi tujuan ini, dua Panel Jawatankuasa Khas digerakkan iaitu Panel Induk Perancang dasar (PIPD) dan Panel Pakar Penilai Dasar (PPPD) yang diwakili oleh pegawai tinggi kerajaan, intelektual, ilmuan, agamawan dan pakar bidang industri.

“Kumpulan ini ditugaskan melakukan kajian bagi meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar negeri. Dalam usaha menggandakan khidmat agensi dan jabatan, setiap Khamis minggu kedua dijadikan hari bertemu pelanggan,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, pendekatan itu membolehkan masyarakat bertemu pihak berkuasa tanpa sekatan temu janji sekaligus menyelesaikan urusan dengan mudah dan cepat.

Sementara itu, dalam usaha kerajaan negeri mengukuhkan institusi keluarga sebagai teras kestabilan komuniti, kursus pra-perkahwinan percuma untuk belai berumur 21 tahun ke atas diteruskan.

“Kursus turut diselang-selikan dengan seminar kemahiran keibubapaan bagi membentuk ketua keluarga yang mampu mengendalikan keluarga dengan sikap sabar dan berhemah.

“Kemantapan institusi keluarga mampu melahirkan anggota masyarakat yang bersikap penyayang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian