Amiruddin Letak Jawatan, Tapi Kekal Ketua Pembangkang DUN Kedah


ALOR SETAR  - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dilapor telah melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah berkuatkuasa serta merta.

Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya telah mengambil maklum tentang perkara ini.

"PAS Kedah telah mengambil maklum tentang peletakan jawatan Datuk Amiruddin Hamzah sebagai Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah.

"Beliau kekal memegang jawatan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Pengerusi Pembangunan Kompleks PAS Kedah dan beberapa entiti lain yang diberi tanggungjawab ke atasnya oleh Badan Perhubungan PAS negeri," katanya dalam kenyataan, malam semalam.

Katanya, pentadbiran PAS Kuala Kedah berjalan seperti biasa dengan tugas-tugas dilaksana oleh pemangku jawatan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan parti.

"Beliau (Amiruddin) kekal beristiqamah dan terus memberi khidmat kepada PAS," katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau juga menyeru semua ahli PAS Kedah agar terus fokus terhadap kerja-kerja mendekati rakyat serta memperjuangkan hak-hak mereka dengan penuh dedikasi.

Sementara itu, difahamkan bahawa surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Setiausaha PAS Kawasan berkenaan pada 9 Mei lalu.

Amiruddin dilaporkan berkata, peletakan jawatan ini tiada kaitan dengan cadangan untuk melompat ke mana-mana parti politik dan beliau akan terus menjadi ahli PAS.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah itu sebelum ini telah menolak jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah yang ditawarkan kepadanya oleh PAS Pusat bagi menggantikan Datuk Mahfuz Omar yang tidak dilantik semula bagi sesi 2015-2017, sebelum melantik Ahmad Fakhruddin.

Amiruddin yang juga bekas AJK PAS Pusat sejak beberapa penggal lalu turut tewas dalam pemilihan lalu apabila perwakilan hanya memilih calon dalam senarai kumpulan konservatif yang sinonim dengan nama 'geng ulama'.

Rombakan kepimpinan PAS Kedah turut menyaksikan Amiruddin turut tidak terpilih dalam barisan kabinet baru, apabila digugurkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya 1, digantikan bekas Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan Pendang. -Kedahnews.com