Annuar Musa Dakwa Isu Muhyiddin, Mukhriz Tidak Penting


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berpendapat bahawa kelantangan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kritikan bukannya merupakan satu isu yang mendesak.

Menurut Annuar, walaupun kedua pihak berkenaan melakukan pelanggaran disiplin yang amat ketara, namun tiada keperluan untuk melihat perkara berkenaan sebagai satu hal yang penting berbanding perkara-perkara lain di dalam parti.

"Walaupun kita faham bahawasanya ada pelanggaran disiplin parti yang ketara namun begitu, tiada keperluan untuk dilihat perkara ini sebagai sesuatu yang tersangat penting berbanding hal-hal lain di dalam parti.

"Sebab itu saya tak dapat ramalkan sama ada Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan membuat keputusan mengenai perkara berkenaan," katanya ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen semalam.

Selasa lalu, Setiausaha‎ Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keahlian Muhyiddin dan Mukhriz perlu dipecat dari parti. 

Tambah Tengku Adnan, Majlis Tertinggi Umno akan membuat keputusan mengenai isu itu ‎pada mesyuaratnya pada hujung bulan ini, dengan usul telahpun dikemukakan oleh jawatankuasa disiplin parti.

Sementara itu, Annuar yang juga merupakan Ahli Parlimen Ketereh menambah, setiap ahli Majlis Tertinggi bebas untuk membawa sebarang usul dan cadangan dalam setiap sesi mesyuarat.

Kata Annuar, sebarang keputusan usul atau cadangan berkenaan adalah terpulang kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi sama ada ingin mengkajinya atau membuat perbincangan terlebih dahulu.

"Jadi pada saya tak perlu buat spekulasi kerana macam saya katakan tadi, apa yang dilakukan mereka bertiga (Muhyiddin, Mukriz dan Tun Dr Mahathir Mohamed) bukan penting buat parti untuk ambil apa-apa tindakan buat masa ini," katanya.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bahawa setiap parti politik mempunyai masalah tersendiri namun perkara itu tidak akan menjejaskan pergerakan parti kerana proses Pilihan Raya Umum(PRU) melibatkan orang ramai dan bukan ahli parti sahaja.

"Sebenarnya kita parti politik ini sama ja. Pas pun ada masalah dalaman , sekarang ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun ada masalah dalaman. Begitu juga DAP dengan pemecatan wakil rakyat dan sebagainya," katanya.

Sumber: Sinar Harian