Gambar Hiasan |
Apabila melihat seseorang itu boleh melakukan sesuatu yang luar biasa dengan kejayaan yang luar biasa, sedangkan kita tidak boleh malah tidak mampu melakukannya, kita tidak boleh menyalahkan Allah SWT yang menentukan takdir kita.
Sememangnya setiap manusia mempunyai perjalanan kehidupan dan takdirnya yang tersendiri yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan sebagai insan yang beriman kita wajib meyakini akan ketetapan qadak dan qadar daripada-Nya.
Namun begitu, Allah juga menyuruh kita hamba-Nya berusaha, berdoa dan bertawakal kepada-Nya, mengharapkan Allah SWT sentiasa mengurniakan takdir yang baik-baik untuk kehidupan.
Bagi memahami persoalan kehidupan ini, dua perkara yang kita kena fikirkan, iaitu pertama, adakah hari ini kita sedang menjalani kehidupan untuk memenuhi “keperluan kehidupan” sahaja?
Maksudnya untuk membiayai kehidupan, kita perlu bekerja – bekerja untuk hidup. Iaitu dengan hasil pendapatan daripada pekerjaan itu kita hanya gunakan untuk membiayai keperluan bagi meneruskan kehidupan: berbelanja untuk makan minum, pakaian dan keperluan asas kehidupan kita, membayar ansuran pinjaman kereta, membayar ansuran pinjaman rumah dan sebagainya.
Kedua, adakah kita bekerja untuk mendapat “tujuan kehidupan?”
Kita bekerja untuk “tujuan kehidupan”, bermaksud memfokuskan kepada satu matlamat sahaja, iaitu untuk kita mendapat keberkatan daripada Allah: mencari husnul khatimah (pengakhiran hidup yang baik) dan reda Allah. Orang yang bijak merancang kehidupannya, bekerja untuk dua tujuan, iaitu untuk “keperluan kehidupan” dan “tujuan kehidupan”, kerana mereka mengharapkan mendapat manfaat daripada pekerjaannya untuk kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Jom audit diri kita, adakah kita bekerja untuk tujuan yang pertama sahaja atau tujuan yang kedua sahaja atau kedua-dua tujuan sekali. Rancanglah hidup kita untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Ingatlah, orang yang gagal merancang adalah orang yang merancang untuk gagal.
Dengan demikian kita perlu set semula (reset) atau mengubah pendekatan berfikir minda kita bagi mengubah kehidupan kita. Maka itu lakukanlah satu-satu pekerjaan itu dengan amanah dan jujur tanpa mengharapkan penghargaan manusia tetapi mencari reda Allah.
Mengenal Allah
Jangan tanya apa yang kita boleh dapat hasil daripada sumbangan tenaga dan pemikiran kita, tetapi tanya apa yang kita boleh beri dan diharapkan dalam pekerjaan kita. Kerana orang yang bahagia ialah orang yang pertama, banyak memberi, bukan menerima.
Kedua, orang yang lebih bersifat belas kasihan, sentiasa terbuka hatinya untuk menolong orang. Kebahagiaan yang paling manis adalah apabila kita dapat menolong orang yang tidak mampu membalas pertolongan kita kembali dan tidak tahu siapa kita yang membantunya. Inilah konsep hidup, mencari keredaan Allah.
Orang yang menjaga kehidupannya untuk dunia dan akhirat: dunia dikelek, akhirat dijunjung. Itulah jaminan untuk hidup dalam keredaan Allah SWT. Bagi mencapai tujuan hidup itu jadikan solat pada awal waktu dan berjemaah sebagai KPI atau tujuan hidup kita setiap hari.
Ketika melakukan ibadah dapat kita merasakan kewujudan Allah untuk menjadikan kita lebih tawaduk, berkasih sayang dan melahirkan akhlak yang baik. Ibadah tanpa mengenal Allah adalah ibadah yang merugikan.
Jika umur semakin meningkat tetapi masih belum mengenal Allah dan belum mendekatkan diri kepada Allah: masih bersolat lewat, masih cinta dunia, sibuk hendak mudakan fizikal dan tidak mahu mudakan semangat iman, rancanganlah perubahan diri dengan segera – kerana kematian semakin dekat bimbang tidak sempat.
Berusahalah untuk bersihkan dan celikkan “mata hati” kita. Hati bagai telaga, peribahasa Melayu mengatakan; “dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh”. Kita sanggup mengorbankan wang beribu ringgit untuk berusaha celikkan “mata fizikal” bagi mengecap kesempurnaan dan keselesaan hidup, sedangkan untuk mencelikkan “mata hati” modalnya tidaklah seberapa.
Tetapi percayalah jika kita berusaha membersihkan dan mencelikkan “mata hati” kita, kesempurnaan dan keselesaan hidup dapat kita rasai untuk kedua-dua kehidupan: dunia dan akhirat. Sebab dalam diri kita ada seketul daging yang dinamakan hati – jika baik hatinya baiklah corak kehidupan kita, jika buruk hatinya buruklah corak kehidupan kita.
Lantaran itu sebagai doktor pakar mata, saya selalu tekankan kepada pesakit saya, jadikan usaha pemulihan “mata fizikal” kita itu adalah untuk jalan meningkatkan ketakwaan. Dengan mata yang kembali terang itu kita tidak lagi tinggal membaca al-Quran pada setiap hari.
Alangkah ngerinya jika kita masuk kubur dalam solat tidak terjaga, Quran tidak dibaca, aurat tidak ditutup sempurna, dan silaturahim tidak baik. Jom audit status kita di dunia dan akhirat. Ingat dunia hati menjadi walang, jika kita seorang yang sukakan harta dan wang, kerana ia menjadikan kita seorang yang tidak pernah berasa cukup dan puas.
Ingat akhirat hati akan tenang, jika kita seorang yang suka bertakwa, kerana ia menjadikan kita seorang yang sentiasa reda dan bersyukur.
Ingatlah, apa-apa sahaja yang kita buat kena pastikan untuk mendapat reda Allah atau penghargaan manusia? Manusia tertekan dalam hidupnya disebabkan oleh dua perkara sahaja. Pertama, kerana takut selain daripada Allah.
Jom audit diri kita supaya dalam ini kita hanya takut kepada Allah bukan takut kepada manusia. Kedua, manusia tertekan kerana penat dan kecewa, apabila segala yang kita lakukan tidak mendapat penghargaan manusia: orang tidak puji, orang tidak berterima kasih, dan kita tidak dapat balasan atau pulangan dari segi wang ringgit yang setimpal dengan usaha kita.
Berdoalah kita kepada-Nya semoga segala amalan kita menjadi bekalan untuk kembali kepada Allah. Sebab kemuncak hidup adalah mati. Jom tuju matlamat untuk mendapat khusnul khatimah dalam setiap amalan dan fikiran kita.
Bebaskan diri kita dari penjara nafsu yang merantai hati dan fizikal kita untuk berbuat kebaikan dan amalan. Maka itu, marilah sama-sama kita, set semula (reset) minda, ubah cara berfikir, dengan berprasangka baik kepada Allah. Hapuskan semua pemikiran negatif yang bersarang dalam minda.
Berfikir secara positif dan bertindak secara positif – insya-Allah kita akan berjaya. Kerana kejayaan ada di mana-mana selagi kita berusaha, berdoa dan bertawakal kepada-Nya. Itulah janji Allah kepada hamba-Nya. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.
Sumber: Dr Muhaya Muhamad/Utusan