Rokok di Australia |
Jumlah perokok tegar di Australia khasnya golongan muda terus menurun selama beberapa dekad terakhir, daripada kira-kira 25 peratus jumlah penduduknya awal 1990-an lalu kepada hanya sekitar 13 peratus ketika ini.
Penurunan dahsyat itu disebabkan trend naik berterusan cukai tembakau, diikuti dengan semakin ketatnya perintah larangan merokok di pelbagai tempat awam dan peraturan bungkusan rokok dengan label cukup mengerikan.
Dalam pengumuman rasmi bajet nasional Australia yang terbaharu, pemerintah pusat kembali dijangka mula meningkatkan tarif cukai semasa tembakau sehingga 12.5 peratus selama tempoh empat tahun ke hadapan.
Menerusi peningkatan duti cukai ini, harga jualan runcit sebungkus rokok dengan 20 batang di Australia boleh mencecah A$40 (kira-kira RM117) menjelang 2020 dan peningkatan ini menerima keluhan ramai perokok.
Samantha, seorang penuntut universiti berusia 21 tahun, menyatakan, semakin mahalnya harga rokok bakal membuatkan sebilangan perokok muda terpaksa memutuskan untuk langsung berhenti tabiat merokok.
“Ini bererti saya harus langsung berhenti merokok. Tidak mampu untuk membeli A$40 sekotak, terlalu luar biasa harganya. Saya nanti perlu menghabiskan A$200 (RM586) hanya untuk keperlua merokok sebulan,” ujarnya.
Gambar Hiasan |
Yalcin, warga Australia berdarah Jerman pula menyatakan, harga rokok di Australia lebih mahal dibandingkan di negara asalnya sendiri. Tidak hanya itu, dia berasa Australia pun kurang menerima baik kehadiran perokok.
“Saya bahkan menerima kesan bahawa merokok ganja jauh lebih diterima masyarakat dibandingkan merokok tembakau biasa. Anda dianggap sebagai orang jijik jika merokok di Australia,” katanya yang berumur 25 tahun.
Namun, lain halnya dengan Joanne, warga emas berusia 52 tahun yang telah merokok selama lebih 40 tahun. Dia bangga mengatakan bahawa kenaikan harga runcit tidak akan menghentikan dia daripada tabiat merokok.
“Pemerintah menyasarkan tempat salah. Saya fikir perokok hanya dijadikan ‘kambing hitam’ untuk meningkatkan pendapatan negara,” katanya sambil menegaskan akan tetap merokok dan mengurangkan bajet untuk berlibur.
Sementara itu, Sanchia Aranda, Pengarah Eksekutif Dewan Kanser Australia, menjelaskan bahawa harga jualan menjadi faktor penting bagi pengguna khasnya remaja untuk memutuskan sama ada mahu merokok atau tidak.
“Sekitar 320,000 perokok akan muncul dan kemungkinan besar berhenti… cukai tinggi ini halang 40,000 remaja berpotensi jadi perokok. Dalam jangka panjang bererti puluhan ribu kematian akibat barah dapat dicegah,” katanya. – Agensi