Babi Rosakkan Kawasan Perkuburan Charuk Bunting, Baling

Muhammad Sabri (kiri ) dan Muhammad Zain menunjukkan bekas tapak kaki babi di sebuah kubur.
BALING - Tanah perkuburan Islam di Kampung Charuk Bunting, di sini yang tidak dipasang pagar mendatangkan kebimbangan kepada penduduk apabila kawasan itu sering dirosakkan oleh babi.

Difahamkan masalah yang menimpa kawasan perkuburan berusia ratusan tahun itu sudah lama berlarutan.

Penduduk, Muhammad Zain Suaiman, 67, berkata, kawasan perkuburan berkenaan menjadi tumpuan haiwan itu terutamanya pada waktu malam.

Menurutnya, haiwan berkenaan juga merosakkan beberapa batu nisan sebelum ini sehingga menimbulkan masalah kepada waris yang datang menziarahi kubur.

“Bila batu nisan pun dirosakkannya, waris susah cari kubur ahli keluarga mereka. Masalah itu selalunya berlaku pada setiap kali hari raya,” katanya di sini, semalam.

Muhammad Zain berkata, yang terbaru apabila salah sebuah kubur di situ dirosakkan babi sebulan lalu.

"Kubur itu merupakan milik jenazah dewasa dan dikorek dalam anggaran satu meter," katanya. Muhammad Sabri Zainal, 54, pula berkata, selain ketiadaan pagar, kawasan perkuburan itu menjadi tumpuan haiwan liar itu kerana ia terletak berhampiran hutan dan kebun getah.

Menurutnya, apa yang dibimbangkan apabila kubur kanak-kanak yang dirosakkan oleh haiwan itu sekiranya masalah pagar tidak diselesaikan.

“Kedalaman kubur kanak-kanak tidak sedalam kubur orang dewasa, saya bimbang jika ia menjadi mangsa haiwan berkenaan selepas ini.

“Jadi saya harap pihak berwajib boleh memasang pagar agar perkara ini tidak berulang, selain itu penduduk juga berharap tanah perkuburan di sini disediakan lampu,” katanya.

Manakala Halimatun Saadiah, 36, dia memohon agar masalah itu diatasi segera oleh pihak berwajib.

“Minta pihak berwajib segera pasang pagar di kawasan tanah perkuburan ini agar masalah yang sudah lama selamat dari sebarang gangguan,” katanya.

Sementara itu, Adun Kawasan Bayu, Datuk Azmi Che Husain berkata, pemasangan pagar di kawasan perkuburan itu perlu mendapat kebenaran jabatan agama terlebih dahulu.

“Status tanah perkuburan juga perlu dikenal pasti terlebih dahulu sama ada ia wakaf umum atau wakaf khusus.

“Bila sudah dapat kebenaran, pihak JKKK atau ahli jawatankuasa tanah perkuburan perlu kepil surat kebenaran dan surat status tanah kepada pejabat daerah, salinan surat juga perlu diserahkan kepada Pusat Khidmat Adun Bayu untuk kita semak dan proses bagi mendapatkan peruntukkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian