Bagaimana Hendak Jadikan Kerja Itu Sebagai Ibadah

Gambar Hiasan
SABAN tahun kita menyambut 1 Mei sebagai Hari Pekerja. Ia merupakan pengiktirafan di atas segala jasa, sumbangan dan pengorbanan pekerja yang merupakan aset terpenting dalam membangunkan negara. Menghargai tanggungjawab yang dilaksanakan mereka, pelbagai insentif dan kemudahan telah dan akan dilaksanakan demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Berkuatkuasa 1 Julai ini, gaji minimum negara dinaikkan daripada RM900 kepada RM1000 sebulan bagi Semenanjung dan daripada RM800 kepada RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Gaji minimum ini melibatkan semua sektor, kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.

Baru-baru ini juga kerajaan mengumumkan penambahbaikan terhadap 252 skim perkhidmatan awam berkuatkuasa tarikh yang sama. Inisiatif itu memberi kesan kepada kenaikan gaji dan gred termasuk gaji permulaan minimum sebanyak RM1,200 dalam sektor awam. Ia melibatkan kenaikan tahunan kepada kesemua 1.6 juta penjawat awam, manakala penambahbaikan skim bermula dari gred 11 hingga 40 membabitkan 1.3 juta kakitangan kerajaan.

Ini merupakan khabar gembira untuk semua warga pekerja. Walaupun hasil negara pada tahun ini berkurangan disebabkan faktor seperti penurunan harga minyak dunia, kerajaan tetap menunaikan janjinya memberi kenaikan gaji seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016. Diharapkan kesemua ini bakal meningkatkan produktiviti negara, ini yang amat penting.

BUKAN SEKADAR IMBUHAN

Menyentuh hal ini, kerja tidak semestinya dilihat dari segi imbuhan sahaja. Islam melihat pekerjaan yang baik dan bermanfaat sebagai satu ibadah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
“Sesiapa yang menghabiskan masa petangnya dalam keletihan akibat daripada pekerjaan yang dijalankan oleh tangannya sendiri, maka ia akan diberi keampunan,” - Riwayat Tabrani dan Baihaqi.
Diriwayatkan pada suatu ketika, Saad bin Muaz al-Ansari menceritakan Nabi SAW baru kembali dari Perang Tabuk, baginda melihat tangan Saad yang melepuh, kulitnya terbakar dengan pancaran panas matahari. Rasulullah SAW bertanya :
"Mengapa tanganmu? Saad menjawab : Aku mencangkul tanah dengan cangkul ini untuk mencari nafkah keluarga yang menjadi tanggunganku. Kemudian Rasulullah SAW mengambil tangan Saad dan menciumnya seraya berkata : Inilah tangan yang tidak akan disentuh oleh api neraka," - Riwayat Tabrani.
Islam menganggap setiap pekerjaan walaupun pangkat dan pendapatannya rendah merupakan satu kemuliaan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud :
“Seseorang di antara kamu yang keluar di waktu pagi lalu membawa kayu api untuk dijual dan berbelanja serta tidak menjadi beban kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada seseorang yang lain, sama ada orang itu memberikan kepadanya atau tidak. Yang demikian itu kerana tangan yang di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah,” - Riwayat Bukhari.
Islam meletakkan bekerja untuk mencari rezeki bagi keperluan diri dan keluarga dalam kategori sebagai amal jihad, seperti jihad berjuang dan mempertahankan agama Allah SWT. Firman-Nya:
“Dan yang lain akan berpergian di muka bumi mencari sebahagian kurniaan Allah, manakala yang lain pula berjihad (berjuang) di jalan Allah,” (Surah al-Muzammil : 20)
Pekerjaan yang diterima sebagai suatu ibadah bukanlah sesuatu yang dilakukan sambil lewa demi mendapat keuntungan di dunia sahaja, sebaliknya sesuatu yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk membangun dan memajukan diri serta organisasi dengan niat kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Kejayaan sesuatu pekerjaan itu tidak hanya pada usaha seseorang tetapi usaha bersama satu pasukan yang membawa keberkatan dan keredaan Allah SWT. Inilah wasatiyyahnya seorang pekerja yang melaksanakan tugas mengharapkan pahala daripada Allah SWT di samping menerima imbuhan yang ditetapkan.

Selamat Hari Pekerja 2016. Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi.

Sumber: Utusan