#BARAKAH: Kedah Jadi Hub Maahad Tahfiz, Sekolah Pondok - MB

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama wakil-wakil Sekolah Agama Rakyat di Kedah pagi tadi. Turut hadir, Exco Agama Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.
YAN - Kerajaan Negeri Kedah berhasrat untuk menjadikan negeri Kedah sebagai "hub" atau pusat bagi sebarang aktiviti pengajian agama seperti Maahad Tahfiz dan Sekolah Pondok yang wujud di negeri berkenaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, walaup bagaimanapun impian tersebut memerlukan sokongan dan muafakat dari segenap lapisa masyarakat di negeri jelapang padi itu untuk direalisasikan bersama.

"Impian kita untuk menjadikan negeri Kedah sebagai hub pendidikan pondok.

"Tapi dalam ini, kita perlu kepada muafakat, kalau tiada muafakat saya mimpi sorang sorang saja lah, ini impian kita bersama," katanya sebentar tadi, menyatakan hasrat Kerajaan Negeri Kedah.


Ahmad Bashah menyempurnakan Majlis Sumbangan Bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Negeri Kedah bertempat di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Padang Lumat, di sini, pagi tadi.

Ahmad Bashah di program berkenaan telah memberikan sumbangan sebanyak RM1.7 juta bagi 12 buah Sekolah Agama Rakyat terpilih di seluruh negeri Kedah yang merupakan antara bantuan Kerajaan Negeri di bawah Program BARAKAH Insan yang dilancar sebelum ini.


Selain itu, turut difahamkan Ahmad Bashah turut akan menyampaikan bantuan BARAKAH Insan kepada beberapa Maahad Tahfiz di negeri Kedah, petang ini. -Kedahnews.com