Nurhafiza bersama ayahnya yang terlantar akibat ditimpa kemalangan. |
KULIM - Bagai jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib yang menimpa seorang bekas tentera di Kampung Paya Jemerli, Labu Besar apabila selepas sebulan rumahnya dipukul ribut dan hilang tempat berteduh, dia kini terlantar setelah terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari kerja.
Anak bongsu kepada Mohd Tahir Lazim, 59, Nurhafizah Mohd Tahir, 23, berkata, rumah pusaka berusia lebih 20 tahun itu dipukul ribut pada awal bulan lalu.
"Waktu itu ayah, mak, kakak dan dua lagi abang berehat di rumah tamu kira-kira jam 6.45 tiba-tiba angin kuat dan menerbangkan hampir keseluruhan bumbung rumah.
"Kami tak sempat nak selamatkan apa-apa barang. Dengan keadaan hujan lebat, kami hanya berlari keluar selamatkan diri," katanya.
Menurutnya, dengan keadaan rumah yang semakin reput, menambahkan lagi kerosakan dan anggaran kerugian melebihi RM50,000 termasuk sebuah motosikal yang tidak dapat diselamatkan.
"Perabot, katil, tilam dan barang elektrik semua tak dapat diselamatkan termasuk motosikal abang yang rosak terkena hujan," katanya.
Nurhafizah berkata, sehingga kini tiada pembaikan dibuat dan mereka kini terpaksa menumpang di rumah kakaknya yang juga seorang orang kurang upaya (OKU).
"Tapi sekarang dah lebih sebulan, masih tak ada yang bantu nak baiki.
Katanya, kini ayah dan ibunya bersama dua abang serta kakaknya terpaksa tinggal dalam satu rumah yang hanya mempunyai dua bilik.
"Sekarang ayah sakit terbaring, tak mampu lagi nak kerja. Memang tak tau mana nak cari duit baiki rumah.
"Saya harap ada pihak membantu. Saya juga berterima kasih kepada kawan-kawan bekas tentera yang datang menjenguk ayah dan menghulurkan sumbangan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Cabang PKR Padang Serai, M Karupaiya berkata, pihaknya akan membantu keluarga Mohd Tahir memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sumber: Sinar Harian