Berat Misha Omar Naik 7 Kg Lepas Berbadan Dua

Misha Omar kini sedang berbadan dua hasil perkahwinan dengan Firos Ezzwan Rossly, 34, pada Mei 2014.
Penyanyi bersuara lunak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, Misha Omar kini sedang berbadan dua hasil perkahwinan dengan Firos Ezzwan Rossly, 34, pada Mei 2014.

Menurut Misha kepada sebuah portal akhbar, jika sebelum ini dia tidak kisah sekiranya tidak menjamah nasi namun kini sebaliknya, ia menjadi menu utama apabila berasa lapar selain menjadi punca tenaga sejak mengandung.

“Alhamdulillah trimester pertama berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Malah, saya juga tidak mengidam sebarang makanan sepanjang tempoh kehamilan. Cuma saya mahukan nasi untuk setiap hidangan dan ia membuatkan berat badan semakin bertambah," katanya.

Misha Omar dan Firos Ezzwan Rossly.
Selain itu, penyanyi yang melonjak naik dengan lagu Bunga-bunga Cinta ini menjadikan buah-buahan untuk mengisi perut apabila berasa lapar. Tambah Misha lagi, beratnya kini bertambah tujuh kilogram sejak memasuki trimester kedua kehamilannya itu.

“Jika dulu saya tidak menitik beratkan pengambilan nasi, namun ia kini menjadi antara makanan ruji dan kemestian. Oleh kerana saya sering berasa lapar, saya mengambil inisiatif membawa bekal seperti buah-buahan untuk mengisi perut,” katanya.

Jelas Misha lagi, walaupun kebanyakan lagu yang didendang olehnya bernada tinggi, namun dia menggunakan teknik pernafasan berbeza bagi menjaga kandungan dan mutu nyanyiannya.

Antara teknik yang digunakan ialah pernafasan menggunakan otot bahagian atas tubuh berbeza sebelum ini yang menggunakan pernafasan daripada perut.

“Jika dulu saya menyanyi menggunakan teknik pernafasan daripada perut, namun kini saya banyak menggunakan otot bahagian atas tubuh. Biarpun belum lagi menguasainya, namun secara perlahan-lahan saya mencuba untuk memahirkan diri,” jelasnya.


Misha adalah antara barisan artis yang membuat persembahan pada malam acara gemilang anjuran Berita Harian iaitu Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke 29 pada Ahad lalu.

Walaupun berbadan dua dan masih bergelut dengan teknik nyanyian yang baru, tetapi persembahan Misha membawakan lagu Tiada Lagi Tangisan pada malam itu tidak menghampakan para peminatnya.

Antara yang teruja dengan persembahannya ialah bekas pengacara popular Farah Fauzana.

“Masa ni nak tengok LIVE nak RECORD nak NYANYI sama nak tengok LIVE nak RECORD nak NYANYI sama nak simpan nak tengok balik nak NYANYI skali.. semualah.. video sampai tu je sebab yang lain semua belakang tudung adik depan hahahaha.

“I hate u @mishaomar hahahaha getaran di perut tu jangan notti time mummy nyanyi ok. Loved.

“Nota: takde nota sebab sibuk nyanyi balik lagu Tiada Lagi Tangisan hehehe,” tulis Fafau dalam salah satu posting di Instagramnya. –Kedahnews.com