Gambar Hiasan |
SEORANG demi seorang dipanggil, hati berdebar-debar. Apa pula nasibnya kali ini. Wajah-wajah yang keluar dari pejabat pentadbiran menunjukkan pelbagai reaksi. Ada yang suka, muram, malah ada yang menangis.
Kini tiba giliran Firdaus. Dadanya berombak kencang bagaikan kapal yang mahu pecah dibadai ombak. Sebagaimana yang ditakuti, dirinya menjadi antara seorang yang terkesan dek kemelesetan ekonomi.
“Tugas awak setakat ini. Pihak syarikat mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang berikan selama ini. Semoga encik berjaya di luar sana,” kata-kata itu bagaikan petir yang memanah dirinya.
Seminggu berlalu, Firdaus masih begitu. Termenung dan ada kala menangis sendirian. Isteri? Tak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Dipujuk? Semuanya tidak berkesan. Dirayu untuk berkongsi lara, Firdaus menolak.
Firdaus merasakan egonya sebagai seorang suami dan ketua keluarga dipijak-pijak. Adik-beradik? Saat ini masing-masing cuba menjauhkan diri. Khuatir kehadiran Firdaus menyusahkan hidup mereka. Dahulu, kesusahan abang-abangnya dia selalu ambil tahu. Mana-mana keperluan mereka, dicuba sedaya upaya untuk membantunya.
Apatah lagi, sebagai seorang adik yang dikurniakan rezeki yang sedikit lebih daripada abang-abangnya. Firdaus menganggap bahawa adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menyempurnakan kehidupan adik-beradiknya setelah kedua-dua ibu bapa mereka menghadap Ilahi.
Tetapi apabila dia berhadapan dengan situasi sebegini, semua orang bagaikan mahu melarikan diri. “Tuhan tidak adil. Tuhan menyusahkan hidup aku. Apa lagi yang aku tidak lakukan. Solat? Puasa? Semua aku lakukan tanpa culas. Apa lagi yang Kau mahu,” jerit Firdaus.
Mengucap panjang si isteri apabila melihat keadaan suaminya bagaikan orang hilang akal. Menolak untuk menerima takdir Allah SWT. Selama ini Firdaus tidak begitu. Dia suami yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Dia insan yang taat dengan perintah Allah. Bahkan dia marah kalau anak-anak tidak solat. Kali ini dia berubah 360 darjah. Menyalahkan Tuhan terhadap apa yang berlaku.
Dia kini bukan Firdaus yang dulu. Berputus asa bahkan setiap hari sering menyalahkan takdir. Fatimah, isteri yang dikahwini 16 tahun lalu buntu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia khuatir, jika suaminya melakukan sesuatu yang di luar jangkaan. Lebih-lebih lagi jika iman suaminya tergugat!
Sumber: Utusan