BN Teliti Calon Sesuai Untuk PRK Kuala Kangsar, Sungai Besar

Datuk Seri Najib Tun Razak
LONDON – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional sedang meneliti calon paling sesuai bagi pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Calon berkenaan, kata perdana menteri, perlu diteliti daripada semua aspek supaya individu yang dipilih itu kelak bukan sahaja diterima oleh parti tetapi juga oleh pengundi secara keseluruhan.

Perdana menteri berkata demikian pada sidang media malam tadi yang mengakhiri lawatan kerja beliau ke United Kingdom.

Beliau dijangka berlepas pada pagi Rabu ke Sochi, Rusia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN selama dua hari.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata beliau telah memberi panduan kepada parti berkaitan persiapan untuk menghadapi dua pilihan raya kecil itu.

“Saya sudah memberi panduan kepada parti melalui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden…mereka sedang melakukan persiapan melalui kursus-kursus dan sebagainya,” katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun. – BERNAMA