Bunga Citra Lestari Akui Lebih Selesa Berhijab

Bunga Citra Lestari
PELAKON dan penyanyi kelahiran negara seberang, Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) meluahkan perasaan seronok dan berasa selesa apabila mengenakan hijab. Malah kelihatan lebih ayu dari kebiasaan.

Tidak dinafikan ramai yang terkejut dengan perubahan ini, namun jelas BCL, dia berhijab adalah untuk menjayakan sebuah watak dalam filem terbarunya iaitu Jilbab Traveler: Love Sparks in Korea.
Walaupun begitu, perubahan ‘sementara’ itu turut disenangi oleh suaminya iaitu pelakon yang berasal dari Malaysia, Asyraf Sinclair.

“Alhamdulillah suami senang. Teman ada yang kaget, tapi jujur, aku sendiri pas lihat di kaca pakai jilbab, aku malah senang,” ujar BCL semasa sidang media filem terbarunya itu.

Menurut BCL kepada sebuah portal Indonesia, walaupum selesa berhijab, namun dia berasa belum tiba waktunya lagi kerana banyak perkara yang perlu dipersiapkan untuk tampil berhijab sepenuhnya seperti yang dilakukan oleh kebanyakan selebriti.

“Masih ada banyak proses sebelum saya sampai ke tahap itu,” katanya.


Tambahnya aktres berusia 33 itu lagi, semasa mengenakan tudung, dia terasa seakan melihat sisinya yang lain.

Di dalam filem itu, BCL memegang watak Raina seorang wanita bertudung yang mengembara ke Korea Selatan untuk melanjutkan pelajaran.

Sepanjang berada di negara asing itu, Rania mengalami banyak rintangan, daripada masalah kewangan hinggalah penyakit yang dihidapinya.

Dalam masa sulit itu Rania bertemu seorang pemuda Korea bernama Hyun Gen. Pertemuan itu membibitkan kisah cinta antara dirinya dan pemuda kelahiran negara ‘kimchi’ itu.

Namun BCL pun menegaskan bahawa siapa pun Raina, ianya berbeza dengan dirinya di dunia realiti.

“Buat saya, begitu start set, nah, berarti itu bukan BCL lagi. Aku sudah jadi Raina. Raina berbeda sama BCL,” jelasnya. – Kedahnews.com