Bunga Citra Lestari Cari Alasan Tinggal Lama Di Malaysia

Bunga Citra Lestari
PELAKON dan penyanyi popular dari negara seberang, Bunga Citra Lestari mengakui jika mendapat peluang, dia mahu menetap lebih lama di Malaysia kerana mahu mengembangkan lagi kariernya di sini.

Dia yang turut disapa sebagai BCL turut menjelaskan bahawa dirinya sudah bersedia sekiranya diberikan peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat produksi tempatan.

“Sejak tiga bulan lepas, saya kerap berulang-alik dari Jakarta ke Malaysia kerana program Maharaja Lawak Mega dan saya sudah bersedia jika ada beri tawaran untuk kerjasama di sini.

“Saya juga mencari alasan untuk kembali semula ke Malaysia dan tinggal lebih lama di Kuala Lumpur”, katanya pada Majlis Tayangan Filem My Stupid Boss kelmarin.

Tambahnya, kerjaya suaminya Ashraf Sinclair yang semakin mengembang di Jakarta juga membuatkan dia berasa tidak sabar untuk meluaskan kerjayanya di Malaysia.

“Kalau boleh saya mahu berjalan bersama dengan kedua-dua negara, kerana saya melihat Ashraf boleh melakukan serta mempunyai karier yang baik di Indonesia”.

Sementara itu, filem My Stupid Boss lakonan pelakon antara dua negara ini bakal ditayangkan serentak di Malaysia dan Indonesia pada 19 Mei. -Kedahnews.com