Buruh Mengaku Salah Curi Penapis Air Di Kuala Ketil

Nethyananth
SUNGAI PETANI - Seorang buruh mengaku bersalah atas tuduhan mencuri penapis air di Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Nethyananth Rajendran, 25, dari Taman Batu Perkaka membuat pengakuan itu hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Nethyananth didakwa mencuri penapis air bernilai RM2,200 di sebuah rumah di Kampung Thye Seng, Kuala Ketil Daerah Baling.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 6.45 petang, 6 Mei lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau kedua-duanya.

Sejurus menerima pengakuan bersalah daripada Nethyananth, Adibah Husna menetapkan kes untuk fakta hukum di Mahkamah Majistret Baling, pada 23 Mei ini. Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan Nethyananth dikat jamin.

Dalam mahkamah sama, Abu Bakar Omar, 30, dari Kampung Charuk Kapas Kuala Pegang, Baling dituduh mencuri barang di sebuah kedai makan pada 4 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri satu botol pati sirap dan laici serta dua tin susu bernilai RM20 kepunyaan Ismail Daud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam 11 pagi di kedai makan Hijau Kuning, Landak Hilir Kupang, Baling, 4 Mei lalu.

Untuk itu, dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Sumber: Sinar Harian