Buruh Rogol Anak Sendiri Dipenjara 40 Tahun, 20 Sebatan

Tertuduh diiringi anggota polis di pekarangan Kompleks Mahkamah.
SUNGAI PETANI – Mahkamah Sesyen Sungai Petani menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 20 kali sebatan ke atas seorang buruh kasar kerana merogol anak kandungnya sendiri.

Tertuduh yang berusia 36 tahun dari Kuala Ketil, di sini mempunyai lapan orang anak hasil perkahwinan bersama dua isteri.

Mangsa yang kini baru berusia 13 tahun 6 bulan merupakan anak kedua daripada lima beradik hasil perkahwinan tertuduh bersama isteri pertama.

Tertuduh yang memakai pakaian lokap membuat pengakuan bersalah di kandang tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dan mengangguk faham atas hukuman yang dikenakan atas kesalahan terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada awal dan akhir Mei tahun lalu di bilik mangsa tidak berpintu serta di bilik tertuduh beberapa kali di sebuah rumah tidak bernombor di Kuala Ketil.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama pada 3 April lalu kira-kira jam 6 pagi di sebuah kawasan kebun kelapa sawit berdekatan rumahnya.

Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwaraya Izza Munirah Mansor di hadapan Hakim M Vijayalakshmi.

Selepas mempertimbangkan hujah timbalan pendakwaraya dan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mensabitkan tiga kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 kali sebatan yang berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap iaitu 2 Mei 2016.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dihukum penjara 20 tahun dan 10 kali sebatan yang dijalankan secara berasingan dengan pertuduhan satu dan dua bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 2 Mei 2016.

Sumber: Sinar Harian