Cikgu Det Pandang Serius Kes Kebakaran Di Sekolah

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
PUTRAJAYA – Penggunaan alat memadam kebakaran dengan inovasi baharu diperlukan dalam usaha mencegah kebakaran di sekolah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya selain menukar pendawaian elektrik yang dikenal pasti sebagai antara faktor utama kebakaran di sekolah, kajian mengenai penggunaan alat baharu mencegah kebakaran boleh dilakukan sebagai alternatif kepada kaedah yang digunakan ketika ini.

Mahdzir berkata beliau memandang serius kes kebakaran di sekolah memandangkan kementeriannya mempunyai lebih 10,000 sekolah yang perlu diberi perhatian termasuk aspek keselamatan.

“Sebagai tempat menimba ilmu, kita bertanggungjawab memastikan pelajar merasai kewujudan ciri keselamatan yang diyakini di persekitaran bagi membolehkan mereka belajar tanpa rasa bimbang,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Elide Fire Ball, alat mencegah kebakaran berasaskan sumber organik di sini semalam, Mahdzir berkata beliau menyokong penuh sebarang usaha ke arah penggunaan alternatif baharu sebagai pilihan dalam menangani kes kebakaran di sekolah.

Ditanya sama ada kementerian sedia menimbangkan penggunaan Elide Fire Ball di sekolah, beliau berkata perkara itu perlu melalui perbincangan dan penelitian lanjut kementerian, terutamanya dari segi kos dan aspek keperluannya di sekolah.

“Daripada simulasi yang ditunjukan, alat ini dilihat berkesan untuk digunakan di sekolah, namun kita harus membuat penilai mendalam mengenainya selain perlu mematuhi pekeliling penggunaan alat memadam kebakaran sedia ada termasuk kontrak,” katanya.

Dengan berat 1.3 kilogram, dan hanya perlu dilontar ke arah objek terbakar, Elide Fire Ball ialah teknologi pemadam api aktif sendiri yang telah digunakan di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun. Di Malaysia ia diedarkan oleh syarikat Euro Manpower Supply Sdn Bhd.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata Jabatan Pendidikan Negeri telah selesai menjalankan pemantauan dan siasatan berhubung jumlah sekolah yang sepatutnya mendapat bantuan menukar pendawaian elektrik.

“Daripada situ, kita akan dapat mengenal pasti sekolah mana yang perlu diberi keutamaan dalam pemberian bantuan,” katanya sambil menambah ia merupakan antara langkah yang diambil kementerian dalam menangani kes kebakaran akibat lintar pintas. – BERNAMA