BEIJING - Teh istimewa yang dihasilkan dari kawasan Pergunungan Wuyi, Provinsi Fujian, China ini digelar sebagai teh lagenda dunia kerana harganya yang melebihi 30 kali ganda daripada harga emas.
Daun tehdari jenis Da Hong Pao yang tumbuh di celahan semak di Pergunungan Wuyi ini sukar ditemui, menyebabkan harganya melambung tinggi dan hanya boleh dinikmati oleh golongan orang kaya.
“Rupa teh ini seolah-olah ianya sesuai dihidangkan kepada pengemis tetapi dengan harga yang mahal, ia hanya mampu dinikmati oleh orang kaya seperti maharaja,” kata Xiao Hui, seorang pembuat teh.
Xiao Hui menunjukkan rupa fizikal teh tersebut sebelum ia diproses. Ternyata, apa yang dikatakatan olehnya adalah benar kerana daun teh itu gelap, tidak teratur seperti dedaun teh yang lain.
Menurut Xiao Hui, pada tahun 2002, seorang pembeli yang kaya membayar 180,000 yuan (RM 108,635) hanya untuk membeli 20 gram teh lagenda tersebut.
“Da Hong Pao yang asli sangat mahal kerana daunnya sangat sukar ditemui, dari jenis daun kuno yang terlalu berharga, hampir tidak ternilai,”jelas pakar teh, Xiangning Wu.
Bagi negara yang mempunyai budaya menikmati teh sebagai salah satu bentuk kesenian sejak beratus tahun lalu, teh dari China ini telah membuat teh dari negara lain kelihatan sederhana nilainya. –Kedahnews.com