Dakwaan Arah Exco PAS Letak Jawatan Belum Sah

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan
KUALA LUMPUR - Dakwaan berhubung tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengarahkan Exco Pas meletakkan jawatan dalam pentadbiran itu Isnin depan belum dapat disahkan kesahihannya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sehingga sekarang Pas belum menerima sebarang surat rasmi daripada pihak Mohamed Azmin.

"Saya tidak dapat pastikan ia ugutan atau tidak kerana tidak pasti ia tulen atau sebaliknya. Kita tidak boleh buat andaian.

"Jika ia benar, ia mesti datang daripada Mohamed Azmin sendiri atau Pejabat Menteri Besar. Pejabat saya pun tak terima apa-apa. Saya rasa jangan dengar perkara yang tidak pasti kerana ia tidak baik kepada semua (pihak)," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Semalam, media melaporkan Exco Pas Selangor telah diminta meletakkan jawatan Isnin depan jika parti itu tetap berkeras bertanding di Sungai Besar.

Laporan itu turut mendakwa, kata dua tersebut datang dari Mohamed Azmin yang mahu PKR bertanding pada PRK itu dan bukan Pas serta Amanah.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, didakwa telah menyampaikan arahan itu kepada Pesuruhkaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Exco Pas lain iaitu , Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib, selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam.

Takiyuddin berkata, sekiranya arahan tersebut benar, pihaknya akan menyerahkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memberikan pandangan.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohamed Azmin sebelum ini bahawa wujud rundingan antara PKR dengan Pas bagi meletakkan calon di Sungai Besar, Takiyuddin memaklumkan tidak pernah ada rundingan antara kedua-dua parti itu.

"Tidak pernah ada rundingan. Jika ada rundingan, tentulah kita tahu," katanya.

"Rundingan tak pernah ada, tapi kalau perjumpaan saya tidak tahu. Tetapi tidak ada rundingan secara rasmi antara Pas dengan PKR," katanya.

Sumber: Sinar Harian