Cat Steven atau Yusuf Islam |
TIDAK perlu diperkenalkan lagi, Cat Steven atau Yusuf Islam, 67, merupakan nama besar dalam dunia Islam. Membawakan pendekatan santai, dakwah Yusuf yang memfokuskan golongan remaja dilihat berjaya mempengaruhi masyarakat di seluruh dunia sehingga menjadi ikutan termasuk di negara majoriti bukan Islam.
Dalam wawancara terbuka disiarkan menerusi sebuah stesen berita antarabangsa, Yusuf berkongsi pandangan mengenai revolusi dakwah masa kini dan pendekatan yang dibawa dalam menyebarkan Islam ke seluruh dunia, di samping mengupas isu semasa dalam dunia Islam.
SOALAN: Pandangan terhadap revolusi dakwah masa kini?
YUSUF: Apa yang paling menarik dan berkesan pada masa kini adalah media sosial. Internet merupakan permulaan kepada revolusi dakwah yang orang ramai boleh manfaatkan. Seperti kita tahu, maklumat dapat diakses dengan mudah menerusi telefon pintar dan komputer yang menjadi gaya hidup masa kini. Oleh itu, sesuatu yang menakjubkan boleh dihasilkan bagi menarik orang ramai (mengenali Islam) dengan pandangan pertama.
SOALAN: Selain muzik, pendekatan lain yang digunakan dalam berdakwah?
YUSUF: Membesar dan hidup dalam dunia muzik, membuatkan saya memilih kaedah ini sebagai pendekatan dakwah kerana saya percaya pengaruh muzik lebih mudah diterima oleh masyarakat dunia. Dalam masa sama, saya turut menghasilkan buku berjudul Why Do I Still Carry A Guitar yang menceritakan pengalaman hidup dan dakwah saya. Segala maklumat dan hebahan juga boleh diakses menerusi laman web catsteven.com.
SOALAN: Pendapat mengenai pandangan sesetengah ulama mengatakan, Islam tidak menggalakkan dakwah menggunakan muzik?
YUSUF: Saya percaya apa yang saya lakukan, saya mempunyai integriti sendiri untuk menggunakan muzik sebagai medium dakwah. Membuatkannya sesuatu yang bermakna dan sesuai dengan fitrah kemanusiaan.
Contohnya, saya menulis lagu bertajuk Where Do The Children Play, yang mengisahkan nasib bumi dan alam ini. Begitu juga lagu Peace Train yang mengajak manusia seluruh dunia untuk bersatu dan menghentikan pergaduhan. Muzik juga boleh memberi ketenangan kepada jiwa manusia.
SOALAN: Peranan muzik dalam perubahan sosial?
YUSUF: Bob Marley antaranya merupakan contoh terbaik yang boleh kita perhatikan. Penyanyi muzik raggae itu berjaya mendamaikan perselisihan antara dua pemimpin parti di Jamaica menerusi lagu. Oleh itu, saya percaya muzik dengan lirik yang baik dapat mengubah keadaan hidup seseorang.
Begitu juga sumbangan John Lennon yang membawakan mesej keamanan dalam lagu-lagunya terutamanya mengajak orang ramai menentang pergolakan di Vietnam.
SOALAN: Bagaimanakah muzik boleh memberi inspirasi kepada remaja?
YUSUF: Bukan sahaja mesej yang ingin disampaikan menerusi lirik, tetapi orang ramai juga melihat individu yang menyampaikan mesej tersebut. Pembawaan ini boleh mempengaruhi dan mendatangkan ilham sesuatu yang baik terhadap individu itu.
Kebanyakan penduduk di Eropah menyedari, dakwah menggunakan muzik semakin berkembang di Asia Barat, adakah ini boleh menghilangkan Islamophobia dalam kalangan mereka?
Mereka yang sering beranggapan negatif terhadap Islam ini sebenarnya mempunyai agenda dan kepentingan sendiri. Sebagai contoh, ahli politik cuba untuk mempengaruhi pengundi menerusi kempen memburuk-burukkan Islam. Perkara ini sukar untuk diubah bagi mereka yang berfikiran seperti ini iaitu bersifat diktator atau segalanya boleh dikawal.
SOALAN: Islam telah menetapkan panduan kepada umatnya, adakah ia bersifat paksaan?
YUSUF: Manusia menetapkan undang-undang bagi tujuan tertentu iaitu bagi menjaga kebajikan dan keamanan atau mengawal sesuatu supaya teratur. Begitu juga ajaran Islam yang menetapkan hukum untuk dituruti oleh umatnya, undang-undang daripada tuhan ini disebut fatwa. Segala panduan ditetapkan itu tidak lain mempunyai kebaikan tersendiri.
Sumber: Utusan