Denmark Lakar Sejarah Julang Piala Thomas 2016


KUNSHAN – Denmark mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan Eropah pertama merangkul trofi Piala Thomas selepas menewaskan juara 13 kali, Indonesia 3-2 dalam aksi final, semalam.

Selepas lapan kali sekadar bergelar naib juara, percubaan kali kesembilan di pentas final membawa tuah buat Denmark yang meraih kejuaraan sulung selain mendapat sokongan daripada penonton tempatan.

Dalam aksi penuh dramatik di Pusat Sukan Kunshan, Denmark meraih mata pertama menerusi pemain perseorangan, Viktor Axelsen yang menewaskan Tommy Sugiarto 21-17, 21-18 tetapi Indonesia berjaya menyamakan kedudukan hasil kemenangan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan ke atas Mad Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding 21-18, 21-13.

Denmark kembali di depan menerusi pemain perseorangan kedua mereka, Jan O Jorgensen yang tidak berdepan masalah untuk menewaskan Anthony Ginting 21-17, 21-12 tetapi Angga Pratama-Ricky Karanda Suwardi menghidupkan kembali peluang buat Indonesia dengan menyamakan kedudukan hasil kemenangan ke atas Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-16, 21-14.

Memasuki perlawanan penentuan, pengalaman jelas membantu Hans Kristian Vittinghus yang muncul wira apabila menyumbang mata kemenangan Denmark selepas menewaskan Ihsan Maulana Mustofa 21-15, 21-7.

Kekalahan di tangan Denmark menyaksikan kemarau selama 14 tahun dialami Indonesia bagi muncul juara berterusan sejak kali terakhir menjulang trofi Piala Thomas pada 2002 di Guangzhou, China. –BH