Gambar Hiasan |
SEORANG wanita yang mendakwa dirinya didera oleh suaminya dipercayai telah mengarahkan teman lelaki untuk membunuh suaminya.
Namun percubaan itu gagal apabila suaminya berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Assisten Komisioner, Mohammad Azlin Sadari berkata, wanita berusia 40 tahun sering mengadu kepada kekasihnya yang suaminya selalu memukul dan menengkingnya sehingga dia bertekad mahu suaminya lenyap dari hidupnya.
Kekasih wanita itu yang berasal dari India dan rakan kekasihnya kemudian menyerang suami wanita tersebut di sebuah apartmen di Taman Puchong Permai pada jam 11.30 malam pada 24 April lalu.
“Serangan itu menyebabkan mangsa menerima 30 jahitan di kepala. Suspek menyerang mangsa menggunakan kapak dan parang,” kata Mohammad Azlin.
Menurut Mohammad Azlin lagi, wanita itu sebelum ini tidak pernah membuat sebarang laporan polis mengenai penderaan yang dilakukan suaminya.
Susulan insiden itu, polis telah menahan wanita tersebut pada 26 April lalu dan sehari selepas itu, kedua-dua suspek ditahan di sebuah hotel di Puchong.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas dakwaan percubaan membunuh. –Kedahnews.com