Dilema Muslimah Mencari Calon Suami Di Abad Ke-21

Gambar Hiasan
DILAHIRKAN sebagai wanita pada abad ke-21, ternyata berhadapan dengan pelbagai cabaran. Bukan sahaja bertanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya, tetapi terhadap ibu bapa, anak-anak dan masyarakat umum juga perlu diberikan perhatian.

Sesungguhnya seorang wanita dilahirkan dengan keistimewaan. Sering dikaitkan sebagai tunjang keluarga, wanita perlu berkorban lebih jika ingin berjaya dalam kerjaya dalam masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab keluarga.

Namun ramai wanita berjaya dalam kerjaya hari ini sering berhadapan dengan konflik apabila berkahwin atau ingin berkahwin.

Yang pertama ialah mencari suami yang sekufu dengannya. Hari ini ramai wanita berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi masih belum berkahwin kerana kesukaran mencari calon suami bersesuaian.

Jika mereka berkahwin semasa belajar atau sebaik sahaja tamat pengajian, mereka bermasalah mencari pekerjaan bersesuaian kerana dilema suami mungkin tidak mengizinkan bekerja atau perlu mencari pekerjaan yang dekat dengan rumah perkahwinan mereka.

Ramai graduan wanita tidak bekerja selepas berkahwin atau selepas mendapat anak kerana perlu meletakkan keutamaan antara keluarga dan kerjaya. Itu yang disebut dalam banyak laporan, graduan wanita “hilang” daripada radar pekerjaan sebaik sahaja berkahwin atau setelah melahirkan anak.

Akhirnya ramai dalam kalangan mereka memilih untuk tidak berkahwin kerana tidak mendapat calon bersesuaian dan kerisauan suami akan meminta mereka melepaskan jawatan apabila berkahwin. Ada juga yang mendapat suami tidak sekufu dengannya dan keluarganya.

KERENAH SUAMI

Ramai juga yang telah bercinta sekian lama sama ada semasa belajar atau selepasnya, berkahwin dan mendapati orang yang dicintai itu (suami) tidak membenarkannya bekerja. Ada juga yang mengawal selia isteri dalam semua aktiviti sehingga isteri merasakan lebih baik dia berhenti.

Apabila berhenti kerja terutama selepas mendapat anak, keluarga isteri akan mula mengungkit dan marah. Ini kerana sebagai anak perempuan yang menjadi harapan keluarga, pemberhentian kerja bermakna keluarga tiada wang bulanan daripada anak perempuannya.

Ibu bapa menghapus hasrat ke Mekah kerana anak perempuan sudah jarang pulang dan memberi wang. Bila dia pulang ke kampung, dia perlu meminta wang gaji suami untuk membeli hadiah atau barangan untuk keluarganya di kampung.

Konflik akan bermula antara ibu bapa dan adik beradik isteri dengan suami. Kesiannya seorang anak perempuan yang terpaksa memilih antara suami dan keluarganya! Adakah ini yang dianjurkan Islam? Ada juga yang tidak berhenti kerja selepas berkahwin kerana suami tidak membelanjakan duitnya untuk keluarga.

Semua makan minum anak-anak, sekolah dan lain-lain semuanya datang daripada gaji isteri. Walaupun isteri sering meminta, namun suami yang mempunyai pendapatan rendah daripada isteri akan memberi alasan “gaji awak lebih banyak daripada saya.”

Ada juga suami yang memilih untuk berhenti kerja kerana gajinya terlalu sedikit dan daripada membazir membayar orang gaji, lebih baik suami mengambil peranan tersebut seperti memasak, menghantar anak sekolah dan mengurus hal ehwal keluarga.

Apa yang suami tidak buat ialah memberi wang untuk membeli makanan atau membayar sewa atau ansuran rumah, bayaran kereta atau motor dan sebagainya. Akhirnya isteri merasa amat letih dan tidak dapat melihat hikmah di sebalik suaminya yang tidak bekerja.

Terdapat isteri merasakan adalah lebih baik dia tidak bersuami. Akhirnya isteri memohon cerai. Bukanlah mudah menjadi wanita perkasa yang boleh mengimbangi antara kerjaya dan rumahtangga.

Mungkinkah wujudnya kesilapan cara ibu bapa membesarkan anak lelaki mereka sehingga menjadikan mereka tidak bertimbang rasa, pemarah, ganas dan tamak sehinggakan dalam semua perkara hanya keluarga dan dirinya sahaja yang menjadi keutamaan?

Sumber: Utusan